Tuesday, 26 July 2016
Sokong PRN : PAN Intai Laba Politik Lenyapkan Pas Di Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Sokongan pantas Parti Amanah Negara (PAN) berhubung cadangan Dap untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bukanlah suatu perkara mengejutkan kerana kewujudan parti itu sendiri adalah hasil dokongan kuat parti tersebut.
Ketua UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata secara tidak langsung juga sokongan itu menggambarkan usaha tersirat parti serpihan Pas itu untuk melenyapkan pengaruh Pas di negeri berkenaan yang mana jika benar-benar berlaku kelak, sudah tentu banyak kelebihan serta manfaat yang akan dinikmati oleh parti pimpinan Mohamad sabu.
“Harapan mereka dengan adanya PRN dapatlah mereka mengisi kekosongan dengan mengintai kawasan-kawasan tertentu terutama yang membabitkan kawasan Pas.
“Pada masa yang sama jika benar-benar PRN berlaku semestinya itulah peluang terbaik Dap dan juga PAN untuk menenggelamkan pengaruh dan juga kekuatan Pas di negeri tersebut,” katanya
Kata beliau lagi keterujaan PAN yang mendahului rakan pakatan yang lain dalam memberi sokongan kepada Dap untuk mengadakan PRN sudah pasti akan dibalas dengan jentera dan kewangan kerajaan Dap yang menguasai negeri itu.
“Seperti yang kita sedia maklum PAN tidak mempunyai apa-apa kekuatan selain sokongan padu yang diberikan Dap. Dan Dap sudah pasti akan membantu mereka kerana PAN adalah alat untuk mereka melenyapkan kuasa politik Pas”, ujarnya
PAN menyatakan persetujuan dengan cadangan mengadakan pilihan raya negeri mengejut di Pulau Pinang.
Berucap pada majlis taklimat “Masa Depan Pulau Pinang” malam semalam, Lim berkata hanya PKR yang belum memberi persetujuan berhubung cadangan itu dan mereka dijadual bertemu malam ini untuk membuat keputusan.
“Kita tidak boleh tanpa PKR, tak boleh kurang satu pun (dalam Pakatan Harapan) kerana kita adalah gabungan. Dan dalam gabungan, semua parti mesti bersama-sama,” kata Lim yang juga adalah setiausaha agung Dap.
Zaidi seterusnya menambah dengan kedudukan Pas yang hanya mempunyai satu sahaja kerusi di negeri tersebut ianya sudah pasti akan memudahkan gerak kerja PAN untuk melemahkan pengaruh Pas di sana.
“Laba politik nampaknya makin kelihatan buat PAN seandainya benar-benar berlaku PRN. Sebab itulah tidak pelik parti serpihan Pas itu mendahului rakan sekutunya di dalam pakatan harapan dalam memberikan sokongan kepada cadangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang,” katanya.-umno online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment