Tuesday, 26 July 2016

DAP Jangan Cari Publisiti Murahan - Ramesh Rao


Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao menjangkakan parti DAP akan hancur dan lenyap dari bumi Pulau Pinang jika Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan atas kemahuan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata DAP ketika ini hanya ingin mencari publisiti murahan dengan mengatakan mereka akan mengadakan pilihan raya untuk memberikan peluang kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru.

Ramesh berkata banyak perkara lagi yang tidak membolehkan sepatutnya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan khususnya yang melibatkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

"Difahamkan ketika ini pihak RoS belum lagi sahkan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan ia masih belum mendapat pengiktirafan dari jabatan itu," katanya.

Pada Oktober tahun lepas, RoS melalui Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata CEC parti pembangkang itu masih belum disahkan dan gerak kerja parti adalah terhad.

Pemilihan CEC DAP pada 29 September 2013 masih belum diiktiraf selain mendapat bantahan dari bekas ahli parti itu yang mendakwa menerima undi daripada perwakilan sedangkan sudah tidak lagi menjadi ahli DAP.

"Oleh itu, kedudukan Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP masih belum juga disahkan oleh RoS.

"Jadi, watikah pelantikan pilihan raya nanti tidak sah jika DAP mahu mengemukakan calon," kata Ramesh.

Guan Eng mahu mengadakan pilihan raya ini kerana mahu menarik sokongan rakyat dan simpati kerana beliau sedang berdepan pertuduhan rasuah melibatkan pembelian rumah banglo miliknya di Jalan Pinhorn di Georgetown.

Ramesh berkata, sepatutnya pemimpin seperti Guan Eng lepaskan jawatan Ketua Menteri dan digantikan dengan pemimpin lain khususnya Timbalan Ketua Menteri P. Ramasamy mentadbir Pulau Pinang.

26 Julai 2016
11.39 pagi

No comments:

Post a Comment