PETALING JAYA : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengambil tindakan segera dengan menurunkan harga sayur-sayuran yang telah naik sehingga 350% semasa Ramadan.
Presidennya S M Mohamed Idris menggesa Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK untuk menyiasat kenaikan harga berkenaan kerana ia akan menjejaskan mereka yang berpendapatan rendah dengan kenaikan harga berkenaan terutamanya pada bulan Ramadan.
“CAP juga telah berkali-kali menyeru FAMA untuk mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran di negara ini tetapi seruan kami tidak didengari,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut statistik yang diberikan, harga untuk daun sup yang harga asalnya RM4.00 telah naik kepada RM18.00, harga daun bawang daripada RM6.00 telah naik kepada RM12.00 manakala harga untuk daun serai daripada RM3.50 naik kepada RM8.00.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman ketika dihubungi FMT berkata, pihaknya sehingga kini tidak menerima aduan berkenaan kenaikan harga sayur-sayuran di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau berpandangan, harga sayur-sayuran dan ikan pada kebiasaannya akan turun naik berdasarkan kepada keadaan.
“Dia tak macam sesetengah barang harganya stabil tetapi ikan dan sayur ini sentiasa berubah berdasarkan kepada bekalan dan permintaan. Cuma kalau ianya benar-benar berlaku seperti yang didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang, saya ingat pihak KPDNKK kena siasat juga kenapa sampai begitu tinggi.
“Biasanya bila terima aduan daripada pengguna, penguatkuasa akan beri notis kepada peniaga…jawapan dalam masa tujuh hari nak tengok ada atau tidak unsur-unsur pencatutan di situ,” katanya
No comments:
Post a Comment