Tuesday, 24 May 2016

Lim Guan Eng disaran agar tidak terus mengamalkan politik putar belit.-Rafizal Rahim


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disaran agar tidak terus mengamalkan politik putar belit untuk menghalalkan segala tindak tanduknya yang kini semakin caca merba di negeri tersebut.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata tindakan terbaru Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan itu mengeluarkan kenyataan kononnya kerajaan Persekutuan menolak permohonan atau memberi kesukaran kepada kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga Pulau Pinang berbanding terowong dasar laut ternyata memperlihatkan Guan Eng cuba melakukan pembohongan.

“Sampai bila Guan Eng mahu berhenti main politik putar belit. Ini memang cara politik yang memalukan.  Guan Eng seringkali buat kenyataan atau tuduhan tetapi apabila dituntut untuk membuktikan sesuatu perkara dia akan menjawab secara berputar-putar atau mendiam menikuskan diri jika merasakan dirinya terperangkap.

“Sebab itu kita tidak hairan dalam sidang DUN terbaru, pemimpin Dap sendiri telah berani berusara dan menempelak tindak tanduk Guan Eng selaku Ketua Menteri. Ternyata dia memang juara dalam putar belit dan rakyat telah tertipu semenjak Dap mengambil alih tampuk pimpinan Pulau Pinang.

“Ketika berkempen untuk pilihan raya, semuanya dijanjikan sehingga bulan dan bintang di langit sanggup diberikan. Manifesto buku jingga juga hilang entah ke mana.. alasan mereka manifesto bukan janji,”

Kementerian Kerja Raya baru-baru ini menafikan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mendakwa kerajaan Persekutuan menolak permohonan atau memberi kesukaran kepada kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga Pulau Pinang berbanding terowong dasar laut.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya telah membuat penelitian dan mendapati tiada permohonan seumpama itu mahupun perbincangan dengan kementerian bagi membina jambatan tersebut.

“Selain itu, tiada sebarang rekod mengenai permohonan atau perbincangan mengenai projek terowong dasar laut Pulau Pinang di mana ia turut memerlukan kelulusan daripada kementerian saya sebelum ia dibina atau dibuka kepada laluan trafik.

“Mungkin pihak Ketua Menteri dapat memberi penjelasan bila permohonan itu dibuat dan bila kementerian menolak permohonan mereka untuk membina jambatan ketiga Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Rafizal seterusnya berkata jika hendak disenaraikan penipuan dan putar belit Dap memang terlalu banyak dan antara contoh yang paling tidak dapat dilupakan adalah janji untuk menghapuskan tol Sungai Nyior namun sehingga kini tol tersebut masih wujud.

“Ini belum lagi janji kepada rakyat seperti penduduk di Kampung Buah Pala dan Kampung Assam.

“Kerana itulah sudah ada yang berani mencadangkan agar jawatan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal malah ada dakwaan Dap telah bersetuju untuk menghadkan jawatan tersebut kepada tiga penggal jika dapat menawan Pulau Pinang tapi sayangnya sekali lagi janji tersebut sekadar janji palsu,” sindirnya.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa Guan Eng tidak akan sama sekali tunduk kepada cadangan untuk menghadkan jawatan ketua menteri dan akhirnya seperti biasa isu yang memberikan impak negatif kepada parti itu akan dibiarkan berlalu sepi tanpa sebarang jawapan.


No comments:

Post a Comment