Thursday, 28 April 2016

Satu maut, dua bot bertembung di Pulau Perhentian


BESUT 28 April - Seorang pemandu bot maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan bot lain di Pulau Perhentian, di sini malam tadi.

Dalam insiden pukul 11.30 malam itu, mangsa Rawi Ibrahim, 40, terbunuh manakala lima lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun empat bulan terselamat.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ketika kejadian, bot yang dinaiki pasangan suami isteri bersama anak mereka itu serta seorang lagi penumpang dan pemandu bot, Mohd Nazmi Daud, 27, dalam perjalanan pulang dari Long Beach menuju ke kampung nelayan.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan bot yang dinaiki mereka bertembung dengan bot yang dipandu oleh Rawi, yang datang dari arah Pulau Perhentian Besar menuju ke Long Beach.

"Ketika kejadian, bot yang dinaiki lima mangsa itu dalam perjalanan menuju ke kampung nelayan untuk menghantar penumpang selepas selesai menikmati makan malam di Long Beach.

"Susulan pelanggaran itu kesemua mangsa tercampak ke dalam laut manakala Rawi hilang. Insiden itu juga telah menyebabkan seorang penumpang, Abdul Mohaimin Zamzuri mengalami kecederaan kecil pada tapak tangan manakala mangsa lain tidak cedera," katanya ketika dihubungi hari ini. 


Mohd Zamri berkata, gerakan mencari serta menyelamat mangsa yang berasal dari Kampung Raja, Besut itu disertai Pasukan Gerakan Marin Wilayah Tiga dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mayat Rawi ditemui pukul 10.25 pagi tadi oleh pasukan penyelamat kira-kira 50 meter dari Long Beach, katanya.

Menurut Mohd Zamri, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital yang sama. - BERNAMA

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/satu-maut-dua-bot-bertembung-di-pulau-perhentian-1.293698#sthash.cLYnVY3i.dpuf

No comments:

Post a Comment