Tuesday, 5 April 2016

Rahman Dahlan Imbas Laporan WSJ Dan Zaman Tun M


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini memuat naik sebuah artikel yang bertarikh 17 Oktober 1986 melibatkan kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Wall Street Journal (WSJ).

Abdul Rahman yang berjawatan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu memuat naik semula artikel berkenaan dipercayai bertujuan untuk mengimbas semula reaksi Dr Mahathir terhadap laporan-laporan WSJ sebelum ini membabitkan Malaysia.

Beliau berbuat demikian ekoran tindakan Mahathir yang terus menerus melancarkan serangan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan tujuan menjatuhkan kepimpinan sedia ada.


Artikel EIR (Executive Intelligence Review) itu menyatakan bagaimana Dr Mahathir yang ketika itu adalah perdana menteri membidas WSJ.

Menurut artikel itu, Mahathir memberitahu mesyuarat dengan ahli perniagaan di Lower Manhattan yang WSJ menjalankan kempen berterusan untuk mensabotaj ekonomi Malaysia.

Bekas perdana menteri itu menuduh editornya menerbitkan artikel-artikel untuk “melemahkan ekonomi kita".

Beliau berkata kerajaan Malaysia melihat "trend khas" di mana WSJ menyiarkan apa yang disebut sebagai artikel "keji" setiap kali mesyuarat antarabangsa berlangsung yang mungkin memberi kesan kepada pelaburan di Malaysia.

EIR juga mencatatkan pentadbiran Mahathir telah mengusir dua wartawan akhbar itu, edisi Asia pada 26 September dan mengharamkan penerbitan WSJ Asia selama tiga bulan.

Mahathir, ketika ditanya sama ada pengusiran dua wartawan itu mempunyai kesan ke atas usaha Malaysia untuk menarik pelaburan Amerika Syarikat, menjawab: "Ia akan mempunyai kesan yang sangat negatif, ini adalah apa yang Wall Street Journal mahu lakukan."

Beliau juga menuduh Asian Journal menerbitkan artikel negatif terhadap menteri kewangan ketika itu iaitu Tun Daim Zainuddin dan sebuah lagi artikel mengenai mesyuarat IMF yang dakwanya tidak mengandungi "sebarang fakta".-klxprees

No comments:

Post a Comment