Wednesday, 27 April 2016

PAS Tidak Akan Campur Kemelut Tuanku Sultan Terengganu-MB Razif


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata partinya tidak akan masuk campur isu pertukaran menteri besar Terengganu yang hangat diperkatakan, susulan pelucutan darjah kebesaran Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau dilaporkan oleh portal Berita Harian Online sebagai berkata, PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat tanpa mencampuri ‘masalah rumah tangga Umno’.

“Setakat ini saya tidak mahu memberi komen, saya akan teliti dan mendapatkan maklumat mengenai perkara itu tetapi ingin ditegaskan masalah yang berlaku itu hanya membabitkan rumah tangga Umno negeri.

“Saya tidak sempat mengikuti perkembangan mengenai pelucutan gelaran itu kerana berada di Sarawak bagi membantu calon PAS menghadapi pilihan raya negeri,” katanya kepada portal itu.

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir, dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Awal bulan lalu, bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku ADUN Kijal membuat usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif tetapi usul itu ditolak.

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Ahmad Said pada 12 Mei 2014.
#RakyatDidahulukan
#RespectMyPM

No comments:

Post a Comment