Sunday, 3 April 2016
Majlis Peguam perlu hormat PDRM jalankan tugas
Majlis Peguam seharusnya menghormati Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas untuk menyiasat beberapa peguam yang didakwa di bawah Akta Hasutan, kata peguam Datuk Zulkifli Noordin.
Ia berikutan tindakan Majlis Peguam semalam yang telah berkumpul membuat bantahan di hadapan Ibu Pejabat Bukit Aman kerana mendakwa pihak polis telah mengganggu dan campur tangan dalam urusan mereka.
“Tindakan mereka jelas membelakangkan undang-undang, jika mereka mahu PDRM menghormati hak membawa usul ke AGM Badan Peguam menurut Akta Profesyen Guaman, mereka juga harus belajar menghormati hak PDRM untuk menjalankan siasatan berdasarkan laporan polis yang dibuat berdasarkan Kanun Acara Jenayah dibaca bersama Akta Hasutan.
“Hak membawa usul di AGM Badan Peguam termasuk hak melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan atau lain-lain undang-undang,” katanya kepada BNBBC.my portal.
Kelmarin, Majlis Peguam telah mengeluarkan pekeliling meminta peguam menghadiri bantahan terhadap apa yang didakwa sebagai gangguan atau campur tangan polis dalam urusan mereka.
Pekeliling itu adalah ekoran daripada usul yang dibentang pada mesyuarat agung tahunan ke-70 Badan Peguam Malaysia, 19 Mac lalu.
Dalam usul itu juga, ia membincangkan kedudukan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali kerana enggan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung deposit di akaun bank peribadinya.
Susulan daripada itu, polis telah memaklumkan Badan Peguam bahawa mereka ingin merakamkan kenyataan daripada empat ahliya mengikut seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, bagi maksud penyiasatan yang berbangkit daripada aduan berkenaan dengan seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948.
Namun, Zulkifli berkata PDRM bukan sahaja berhak untuk menyiasat, malah ia dipertanggungjawabkan untuk menyiasat di bawah undang-undang negara.
“Para peguam ini harus belajar perkara asas negara iaitu Rukun Negara – Keluhuran undang-undang.
“Malahan jelas tindakan mereka tidak mendapat restu majoriti peguam apabila tidak sampai 0.2% peguam yang hadir daripada 16,535 peguam yg berdaftar dengan Badan Peguam Malaysia, jelas tindakan mereka ini tidak mewakili suara ramai para peguam.
“Ini ditambah dengan hakikat tidak sampai 5% peguam yang hadir dan mengundi menyokong usul yang dibawa untuk memecat Tan Sri Peguam Negara,” ujarnya.
Dalam siasatan tersebut, seramai empat orang yang diambil keterangan iaitu Setiausaha Badan Peguam, Karen Cheah Yee Lynn, dan peguam Charles Hector, Francis Pereira dan R Shanmugam.
— BNBBC
#RespectMyPM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment