Friday, 29 April 2016

KDN pantau, siasat individu terlibat keganasan di Sabah - Nur Jazlan


KUALA LUMPUR 28 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau dan menyiasat mereka yang dipercayai terlibat dengan aktiviti meluaskan pengaruh Kesultanan Sulu di Sabah.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu Dewan Negara hari ini, setakat ini, lima individu dari Sabah berjaya ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negeri itu.

"Lima telah ditangkap dan kita sedang siasat mereka yang terlibat. Kita lakukan pengumpulan maklumat risikan yang amat mendalam di Sabah, dan sentiasa berwaspada mengenai tindakan kumpulan pengganas ini kerana mereka pernah menyerang negara kita," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Chin Su Phin yang ingin tahu tindakan kerajaan terhadap pengganas Sulu yang dipercayai melantik 'panglima' di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam usaha membentuk semula Kesultanan Sulu di negeri itu.
Pendedahan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menggulung usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment