KUALA LUMPUR 2 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyalahi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 semasa Himpunan anti-cukai barang dan perkhidmatan (GST) anjuran pembangkang yang dihadiri kira-kira 2,800 orang di ibu negara hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, penganjur tetap mengadakan perhimpunan tersebut walaupun tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
Menurut beliau, Ketua Polis Daerah Dang Wangi telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan penganjur dan telah mencadangkan perhimpunan itu diadakan di Padang Merbok kerana Dataran Merdeka akan digunakan untuk majlis lain.
“Selain itu penganjur juga dinasihatkan supaya mematuhi peruntukkan di bawah APA termasuk mendapatkan kebenaran daripada pemilik lokasi penganjuran.
“Namun pihak penganjur tetap mengadakan perhimpunan dengan berarak dari pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Dataran Merdeka dengan beberapa pemimpin telah menyampaikan ucapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beberapa pemimpin yang menyertai dan berucap dalam perhimpunan itu termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Md. Ali; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta pemimpin pembangkang lain.
Amar Singh memberitahu, perhimpunan sehingga pukul 5.30 petang itu berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“Polis Kuala Lumpur akan sentiasa memastikan ibu negara berada dalam keadaan selamat dan tenteram,” ujarnya.
-utusan
No comments:
Post a Comment