Saturday, 4 July 2015

Piala FA : Pulau Pinang Ubah Strategi


GEORGE TOWN: Skuad Harimau Kumbang terpaksa mengubah perancangan berdepan Selangor PKNS dalam saingan Liga Perdana pada Selasa ini, berikutan penggantungan dua pemain utama mereka. Ini diakui jurulatih Jacksen Ferreira Tiago yang menjelaskan strategi pasukan harus diubah semula bagi memastikan rentak permainan yang semakin mantap dapat dikekalkan, sekali gus terus berada dalam kelompok atas liga.

"Saya perlu menyusun semula strategi bagi perlawanan berikutnya ... kita kehilangan (Muhammad) Rafiuddin (Roddin) dan sekarang (Mohd) Farid (Ramli)," katanya selepas perlawanan menentang pendahulu liga, T-Team, di Stadium Bandaraya, di sini malam tadi. 

Pulau Pinang sekadar seri 1-1 selepas lawan menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Farhod Tadjiev pada minit ke-31, bagi memadam kelebihan awal tuan rumah yang mendahului menerusi gol penyerang import, Hilton Mauro Moreira pada minit ke-23. Rafiuddin yang bermain di posisi tengah, masih menjalani penggantungan selepas mengutip tiga kad kuning manakala tonggak pertahanan Mohd Farid dilayangkan kad merah pada perlawanan malam tadi oleh pengadil Zulkifli Ahmad pada minit ke-21 selepas mengasari pemain tengah lawan, Josip Milardovic. 

Mengulas persembahan anak buahnya ketika menentang T-Team, Tiago mengakui tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan walaupun memuji prestasi pemain khususnya ketika beraksi dengan 10 orang. "Tapi tindakan Farid amat mengecewakan," katanya. Pulau Pinang kini menduduki tangga ketiga liga selepas mengharungi 14 perlawanan, dengan mengutip 29 mata, empat mata di belakang T-Team, dan ketinggalan dua mata daripada Kedah yang mengisi posisi kedua. Namun mereka masih belum boleh berasa selesa berikutan hanya mengatasi Sabah yang menduduki tangga keempat dengan perbezaan tiga mata saja. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment