Wednesday 15 July 2015

Laporan Awal Ketua Audit Negara Buktikan Dakwaan Terhadap 1MDB Meleset


PUTRAJAYA 14 Julai - Laporan awal Ketua Audit Negara mengesahkan tiada bukti salah laku terhadap tuduhan yang dilemparkan ke atas syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sehubungan itu, dakwaan dana sebanyak RM42 bilion telah hilang daripada akaun 1MDB dan RM2.6 bilion (AS$700 juta) telah disalurkan ke dalam akaun peribadi seorang individu adalah tidak berasas.

“Saya berharap semua spekulasi terhadap 1MDB dapat dihentikan. Kita perlu bersabar dan menunggu laporan akhir Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang membentangkan laporan awal mengenai 1MDB kepada PAC yang diketuainya Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed di bangunan Parlimen.

PAC sebelum ini dilaporkan memulakan prosiding siasatan pada 19 Mei berhubung isu yang dihadapi syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

Selain itu, ketika PAC menjalankan siasatan, timbul dakwaan terbaharu oleh Wall Street Journal (WSJ) bahawa dana sebanyak RM2.6 bilion telah dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada masa sama, Ahmad Husni memberitahu, fokus pihaknya kini untuk melaksanakan pelan rasionalisasi 1MDB seperti yang dirancang kerajaan dalam usaha melunaskan hutang syarikat tersebut.

‘‘Kerajaan komited bagi memastikan isu hutang 1MDB diselesaikan menerusi pelan rasionalisasi syarikat pembangunan strategik itu.

‘‘Matlamat akhir pelan rasionalisasi ini adalah bagi mengimbangi semula aset dan hutang 1MDB bagi menyokong struktur kewangan untuk memastikan kemampanannya pada masa hadapan,’’ katanya. /-Utusan

No comments:

Post a Comment