BUTTERWORTH: Pejabat Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) daerah Seberang Perai Utara (SPU)
merampas sebanyak 192 kilogram (kg) gula pasir dalam pemeriksaan di sebuah
premis menjual barangan runcit di sini semalam.
Dalam pemeriksaan itu,
seorang peniaga berusia 58 tahun turut ditahan
kerana memiliki barang kawalan tersebut yang melebihi had simpanan
dibenarkan di dalam lesen iaitu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ketua Pegawai Penguat
Kuasa PPDNHEP SPU, Akram Karim Mohamad Arip berkata, pemeriksaan itu bertujuan
mengelakkan berlakunya penyelewengan ke atas barang-barang kawalan selain
memastikan para peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan sebelum ini.
Katanya, ketika ini,
siasatan lanjut masih diteruskan dan jika didapati bersalah, mereka yang
dituduh boleh dikenakan tindakan mahkamah.
“Sabit kesalahan, mereka
boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tiga tahun atau
kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan kedua dan
seterusnya, mereka boleh didenda sebanyak RM3 juta dan penjara tidak melebihi
lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini
semalam.
Jelas beliau, pihaknya
telah menjalankan pemeriksaan terhadap 5,135 buah premis perniagaan dan telah
merekodkan sebanyak 86 kes daripada pelbagai Akta yang dikuatkuasakan di bawah
KPDNHEP.
“Kita akan sentiasa
menjalankan pemantauan bagi memastikan para peniaga mematuhi undang-undang yang
ditetapkan selain mengharapkan kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan
maklumat berkaitan jika mendapati terdapat mana-mana peniaga yang gagal
mematuhi undang-undang,” katanya.
– UTUSAN
No comments:
Post a Comment