Thursday, 25 June 2020

OPS KHAS PENGUATKUASAAN E-HAILING TANPA PERMIT



Seberang Jaya, 25 Jun 2020 – Satu Sidang Media Ops Khas Penguatkuasaan  E-Hailing Tanpa Permit telah diadakan pada pagi ini bertempat di Ruang Legar Unit Siasatan Blok C, JPJ Negeri Pulau Pinang.

Sidang Media tersebut telah dihadiri oleh Pengarah JPJ Negeri Pulau Pinang, YBrs Tuan Adenan bin Md lsa, Ketua Bahagian Penguatkuasa , Tuan Megat Shariffuddin bin Megat Ahmad Zakir, Tuan Mohd Nasron bin Ali Yasak, Ketua Seksyen Operasi  dan pegawai-pegawai kanan JPJ Negeri Pulau Pinang.

Operasi Khas ini bermula pada 24 Jun 2020 dan melibatkan seramai 30 Pegawai dan Anggota Unit Operasi JPJ Negeri Pulau Pinang dan memberi tumpuan  di sekitar Pulau Pinang.

Objektif utama Ops Khas ini adalah untuk mengesan kenderaan E-Hailing yang beroperasi secara haram. Ekoran daripada itu, Jabatan juga telah menerima aduan daripada Persatuan Pemandu-pemandu E-Hailing Berdaftar terhadap kenderaan yang beroperasi sebagai E-Hailing telah menggunakan Aplikasi E-Hailing yang tidak berdaftar.

Dalam operasi yang dijalankan pada semalam dan hari ini, JPJ mendapati syarikat terbabit InDriver telah beroperasi sejak beberapa bulan yang lalu dan tidak pernah membuat permohonan pendaftaran kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP).

Hasil dari operasi ini sebanyak 11 orang pemandu telah diambil tindakan kerana pemandu-pemandu ini menjalankan Perkhidmatan E-Hailing yang tidak berdaftar. Tindakan diambil di bawah Seksyen 16(1) APAD 2010. Kesemua kenderaan yang terbabit telah disita untuk tempoh satu bulan kalendar dari tarikh tindakan diambil di bawah Seksyen 80(1) APAD 2010. Pendakwaan akan dilaksanakan dalam tempoh satu bulan dari tarikh tindakan diambil. Sekiranya disabitkan kesalahan, pemandu boleh didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

#JPJ2020
#digitalisasimelestariintegriti
#viraljpj
#infojpj
#jpjpenang
#stayathome

Sumber : JPJ Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment