‘Corona’, dan ‘Covid’ kini menjadi nama pilihan ibu bapa untuk bayi baru lahir mereka sempena pandemik yang menjangkiti jutaan manusia seluruh dunia.
Ketika Colline Tabesa melahirkan bayi perempuan di tengah kota Filipina di Bacolod pada 13 April, dia dan pasangannya John Tupas, 23, ingin menamakan anak mereka Covid Marie, lapor AFP.
“Covid-19 menyebabkan satu dunia menderita. Saya mahu nama itu sebagai memperingati bahawa Covid bukan sahaja membawa penderitaan tetapi satu rahmat kepada kami,” kata Tupas.
Katanya beliau tidak ambil peduli dengan kritikan di media sosial kerana memilih nama anak lain daripada kebiasaan.
“Anak saya mungkin menghadapi masalah buli, tetapi saya akan ajar dia menjadi manusia yang baik.
“Kami tidak teragak-agak,” katanya.
Di India, dua ibu di daerah selatan masing-masing menamakan bayi mereka Corona Kumar dan Corona Kumari selepas dinasihati doktor di sebuah hospital.
“Saya beritahu mereka nama itu mungkin dapat membantu tahap kesedaran masyarakat terhadap penyakit itu dan menangani stigma tentangnya,” kata doktor SF Basha.
“Agak mengejutkan, mereka (ibu) setuju dengan cadangan itu.”
Sementara itu, pasangan dari timur laut India di Rajasthan menamakan anak mereka Lockdown.
“Kami menamakan anak lelaki kami Lockdown sebagai memperingati semua masalah yang dihadapi sepanjang tempoh sukar ini,” kata bapa Sanjay Bauri seperti dilapor media tempatan.
projekmm

No comments:
Post a Comment