Wednesday 29 April 2020

Mayat tersangkut di sangkar ikan.


GEORGETOWN: Mayat lelaki disyaki lemas selepas terjun dari Jambatan Pulau Pinang tiga hari lalu, ditemui tersangkut dalam sangkar ikan berhampiran Pulau Jerejak, dekat sini, pagi tadi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun, berkata mayat lelaki yang dikenali sebagai Goay Kheng Seng, 76 tahun dari Juru, Bukit Mertajam itu ditemukan memakai T-shirt berbelang biru merah serta seluar pendek hitam dan sudah disahkan warisnya.

Katanya terdahulu, lelaki itu dilaporkan terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 5.2 arah Prai menghala ke pulau, pada 27 April lalu.

Sejurus menerima maklumat, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dan dikoordinasi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi, membabitkan pelbagai agensi keselamatan iaitu Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) , Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia.



"Aset milik agensi keselamatan yang terbabit kemudian digerakkan ke lokasi penemuan mangsa, seterusnya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban, dekat sini.

"Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi tujuan bedah siasat," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut Hamizan berkata, proses sanitasi dan nyahcemar turut dilakukan terhadap aset yang terbabit semasa operasi itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM.

"Orang awam diminta supaya melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146," katanya lagi.

Sementara itu jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik sangkar itu mengenai penemuan mayat terbabit pada jam 8 pagi tadi dan mangsa ditemui pada jam 10.15 pagi.

#BeritaHarian

No comments:

Post a Comment