Monday, 16 March 2020

Najib Razak titip doa buat Drama Band selepas dilanggar pemandu mabuk

Kisah kemalangan jalan raya melibatkan kumpulan muzik Drama Band awal pagi semalam menarik perhatian Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu dalam catatan terbaru di Facebook berharap mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan menasihatkan agar sentiasa berhati-hati.


“Selalu kita kena berwaspada dengan kenderaan keliling kita.

Saya doakan agar semua selamat di jalan raya,” kata Najib, mengepil laporan berita kes kemalangan itu.


Kenderaan Drama Band dilapor rosak teruk akibat dilanggar pemandu mabuk ketika melalui terowong di Jalan Tunku Kudin, Pulau Pinang, kira-kira jam 1.30 pagi Ahad.




Disebabkan itu, Aepul Roza, Daus dan Fadhil mengalami calar-calar di badan akibat hentakan.

Mereka sedang dalam rangka promosi DramaTour 2020 di enam lokasi bermula di Perlis pada 13 Mac lalu hingga akhir bulan ini, lapor BH Online.

Kumpulan itu sebelum ini mencetuskan kontroversi semasa siaran langsung Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) 9 Februari lalu di stadium Bukit Jalil.

Membuat persembahan satira, Drama Band menampilkan beberapa watak yang dilihat seolah-olah menyindir selebriti, pendakwah bebas, ahli politik dan pemimpin negara.

Antaranya termasuklah sepasang lelaki berpakaian kemeja dan wanita membawa beg tangan berwajah badut, dianggap penonton menyerupai Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Disekat TV3 dan dikritik ramai, Drama Band tampil memohon maaf dan menyatakan tidak berniat menyinggung mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment