Friday, 20 March 2020

Leka ketika memandu, pemandu e-hailing rempuh sekatan jalan raya

Beberapa anggota polis yang sedang menjalankan sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Uban, di sini nyaris cedera dirempuh sebuah kereta dipandu seorang pemandu perkhidmatan e-hailing Grab yang leka menggunakan aplikasi itu di telefon bimbitnya hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata dalam kejadian kira-kira 8.18 pagi itu, pemandu lelaki berusia 46 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari Butterworth menghala ke Bayan Lepas untuk mengambil penumpang.






“Siasatan mendapati, lelaki itu sedang menggunakan aplikasi Grab dan dia tidak perasan terdapat sekatan jalan raya di laluan tersebut sebelum merempuhnya sehingga menyebabkan kerosakan pada papan tanda amaran, lima kon polis serta dua lampu yang digunakan semasa sekatan tersebut,” katanya di sini hari ini.

 Beliau berkata semasa kejadian, terdapat tujuh pegawai dan anggota polis yang sedang bertugas, namun semua mereka tidak mengalami kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.


Menurutnya, ujian mendapati pemandu itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ― Bernama

No comments:

Post a Comment