Wednesday, 11 March 2020

#KepalaBatas Lelaki rugi RM23,000 kerana ‘phone scam’

Seorang juruteknik kerugian RM23,000 selepas ditipu sindiket Phone Scam yang mendakwa lelaki itu terlibat dalam kes perjudian dalam talian, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 46 tahun itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai Telekom Kuantan dan memberitahu pengadu terlibat kes perjudian dalam talian serta dikehendaki polis.


“Mangsa menafikan perkara itu dan seterusnya panggilan disambungkan kepada seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang memaklumkan pihak polis perlu menyiasat akaun bank juruteknik tersebut kerana terdapat transaksi meragukan yang kemungkinan berkaitan jenayah.



Lelaki menyamar pegawai polis itu meminta mangsa menyerahkan nombor akaun bank dan nombor pin miliknya sebelum sindiket tersebut terus mendesak agar memberikan nombor TAC (kod kebenaran transaksi) jika tidak mahu ditangkap oleh polis,” katanya di sini hari ini.


Beliau berkata mangsa yang takut ditahan polis telah menyerahkan nombor TAC kepada lelaki yang menyamar polis itu sebanyak empat kali sebelum mendapati duit dalam akaun banknya sebanyak RM23,000 telah dipindahkan ke akaun lain tanpa pengetahuannya.


Menurutnya, lelaki itu kemudiannya membuat laporan polis dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun yang digunakan oleh sindiket berkenaan untuk memindahkan wang daripada akaun milik juruteknik berkenaan. – Bernama

No comments:

Post a Comment