Monday, 30 December 2019

#Dengkil Tembak kepala, polis maut ketika buat sekatan jalan raya

Seorang anggota polis berusia 26 tahun ditemukan maut dengan kesan tembakan ketika sedang bertugas di sekitar Dengkil, Sepang dekat sini, dalam kejadian kira-kira 3.55 pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi Bernama berkata ketika itu anggota polis berkenaan bersama-sama anggota pasukan yang lain sedang menjalankan sekatan jalan raya di kawasan itu.


Beliau berkata ketika anggota lain sedang sibuk menjalankan tugas, tiba-tiba mereka terdengar bunyi letupan dan melihat anggota itu telah rebah di atas jalan raya.


“Pihak polis masih menyiasat punca kejadian berkenaan untuk melengkapkan siasatan kes ini,” katanya,


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang tengah hari semalam, telah menemukan sebutir peluru di kepala anggota itu.


Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad ketika dihubungi berkata terdapat satu kesan luka masuk di sebelah kanan atas telinga dan satu kesan luka keluar tembakan atas telinga kiri anggota itu.

“Hasil bedah siasat juga mengesahkan terdapat kesan luka tembakan masuk di sisi kanan menembusi tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa,” katanya.

Md Noor Aehwan berkata mangsa telah berkhidmat dalam perkhidmatan polis selama lima tahun dan telah berkahwin dan mempunyai seorang isteri serta seorang anak.

“Laporan kematian telah mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment