Monday, 8 April 2019
Derita 'berjirankan' kandang babi.. 😓
TASEK GELUGOR: Hampir 400 pesawah di dua perkampungan di sini, mendakwa terjejas ekoran pencemaran sisa babi dari kandang ternakan haiwan itu di Kampung Selamat dekat sini, yang disalurkan ke sungai berhampiran.
Kegiatan yang berlarutan sejak lebih 40 tahun lalu itu didakwa menyebabkan hasil tanaman padi di Kampung Air Melintas Kecil dan Kampung Air Melintas Besar di sini, gagal dimaksimumkan.
Situasi berkenaan antara lain membantutkan pertumbuhan tanaman padi dan kebanyakannya menghasilkan padi hampa, selain pesawah berdepan kesukaran memilih baja bersesuaian.
Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, Ahmad Sulaiman, 69, berkata pesawah juga berdepan masalah kulit, khususnya ketika musim tanam padi bermula, selain khuatir dengan tahap kesucian air di saliran terbabit.
Katanya, pelbagai laporan mengenai perkara itu dikemukakan kepada pihak berkenaan tetapi tiada tindakan diambil kerana kandang ternakan babi yang terletak hampir dua kilometer dari rumah penduduk itu beroperasi secara sah.
“Sepatutnya, sebanyak 10 tan padi boleh dihasilkan bagi sawah seluas satu hektar, setiap musim. Bagaimanapun, hasil kami di sini hanya mampu mencecah kadar maksimum enam tan semusim.
“Ia sudah membantutkan kadar pengeluaran padi berkeluasan 450 hektar di PPK Pokok Sena ini, selain berpotensi menjejaskan keselamatan makanan negara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Ahmad berkata, pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri sebelum ini sering mengambil sampel air di sungai terbabit, yang alirannya turut masuk ke Sungai Kreh di sini, hingga ke Kampung Air Hitam di Sungai Dua, Butterworth.
“Bagaimanapun, tiada apa-apa tindakan susulan dibuat dan kegiatan pengendali ladang ternakan babi terbabit terus menyalurkan sisa ke dalam sungai. Ia juga mengakibatkan sekurang-kurangnya 200 rumah berhampiran berdepan pencemaran bau busuk.
“Kita juga mengalami masalah lalat yang terlalu banyak, selain dikhuatiri dijangkiti penyakit bawaan serangga terbabit. Justeru, kita berharap pihak berwajib dapat mengatasi masalah ini dengan segera,” katanya.
Sementara itu, penduduk setempat, Yusof Othman, 65, berkata pencemaran terbabit turut mengubah struktur biologi sungai berkenaan.
“Dulu, penduduk di sini, boleh tangkap pelbagai jenis ikan air tawar dan udang galah... kadang-kadang guna tangan saja sebab airnya terlalu jernih, tetapi kini ia sangat hitam dan tiada lagi ikan yang hidup di sungai ini.
“Malah, kebanyakan penduduk di sekitar Kampung Selamat juga mendakwa tidak selesa dengan pencemaran dihasilkan kandang babi terbabit. Kita harap supaya masalah ini diatasi segera,” katanya.
Kredit Berita Harian Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment