PULAU PINANG 19 Feb. - Penumpang yang ditemukan maut selepas terjatuh dari Feri Pulau Undan, Jumaat lalu dikenalpasti sebagai warga asing.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis telah mengesan rakan mangsa menerusi kad sim telefon mangsa.
“Menerusi maklumat daripada rakannya, mangsa hanya dikenali sebagai Mohamad yang berasal dari Myanmar dan dikatakan sebagai seorang pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Mangsa dikatakan bekerja sebagai penjual sayur di Butterworth namun motosikal mangsa dikatakan ditinggalkan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan polis masih mengesan majikan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.20 pagi Jumaat lalu, seorang penumpang terjatuh ke dalam laut di 1.2 kilometer Barat Laut berhampiran Terminal Feri Butterworth.
Mayat mangsa ditemukan di Jeti Swettenham kira-kira pukul 10.30 pagi selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Menurut Che Zaimani cap jari mangsa juga telah diambil untuk semakan dengan pihak UNCR. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment