SUNGAI PETANI - Hospital Pantai Sungai Petani memohon maaf berhubung penyiaran iklan tawaran biasiswa yang didakwa bersifat perkauman baru-baru ini dan memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tio Bee Chan berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan pada iklan yang dikeluarkan hospital swasta tersebut pada 8 Februari lalu.
"Hospital Pantai mengamalkan polisi pengambilan pekerja secara sama rata dan tidak mempraktikkan sikap prejudis terhadap mana-mana bangsa mahupun agama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, kejadian itu memberi peringatan kepada dirinya dan pihak pengurusan serta seluruh kakitangan agar tidak memandang ringan isu berkaitan keharmonian kaum dan agama.
"Kita akan lebih berhati-hati selepas ini untuk memastikan bahawa semua bangsa dan agama dihormati," ujarnya.
Baru-baru ini, iklan tawaran biasiswa bagi pengajian Diploma Kejururawatan yang diletakkan di hospital berkenaan telah dimuat naik di laman sosial Facebook sehingga menimbulkan salah faham masyarakat apabila menyatakan keutamaan diberikan kepada pelajar bukan Melayu seperti Cina, Siam, Kristian dan India.
Sementara itu, Pengarah Kejururawatan hospital itu, Katini Abu Hassan berkata, iklan tersebut adalah untuk menarik minat calon yang berpotensi bekerja di hospital berkenaan.
"Kita mempunyai kira-kira 72 peratus jururawat dalam kalangan orang Melayu, justeru kita ingin menambah bilangan jururawat daripada pelbagai kaum bagi membolehkan jururawat Melayu diberi pelepasan semasa musim perayaan.
"Pihak kami sebenarnya tidak berniat langsung untuk mendiskriminasi terhadap mana-mana bangsa mahupun agama," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment