Sunday, 15 July 2018
Polis bantuan selamatkan wanita terjun jambatan terima pingat Gagah Perwira
GEORGE TOWN - Keberanian seorang anggota polis bantuan untuk terjun ke dalam laut dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi menyelamatkan seorang wanita April lalu mendapatkan pengiktirafan apabila hari ini menerima Pingat Gagah Perwira daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas
Konstabel Zaidi Salleh, 52, seorang polis bantuan syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) merupakan individu pertama yang menerima pingat itu setelah lebih 10 tahun ia tidak dianugerahkan kerana tiada individu yang layak.
"Pengorbanan saya sangat sedikit namun disanjung tinggi, saya begitu berterima kasih dan terhutang budi kepada seluruh rakyat Malaysia dan media yang berikan sokongan kepada saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Hari Ulang Tahun ke-80 Abdul Rahman di sini hari ini.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata keberaniannya untuk terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan wanita itu merupakan hasil daripada latihan ketika beliau berkhidmat sebagai anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) selama 25 tahun.
"Terima kasih buat TUDM yang telah memberi latihan kepada saya, sehingga kini saya bawa ilmu itu. Saya juga dedikasikan pingat ini kepada Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan seluruh warga TUDM yang memberikan sokongan dan semangat kepada saya," katanya.
Zaidi berkata beliau telah mula berkhidmat dengan TUDM pada tahun 1987 sebelum bersara dan menyertai polis bantuan JKSB pada tahun 2013.
Sebelum ini, Zaidi juga pernah diberi pengiktirafan oleh kerajaan Pulau Pinang, Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment