Friday, 27 July 2018

Lipas Jepun punya hal, restoran diarah tutup


SEBUAH restoran di Bandar Perda, Bukit Mertajam disita selama 14 hari bermula hari ini selepas beberapa ekor 'lipas Jepun' ditemui pada mesin pengisar ais di dapur premis berkenaan.

 Premis itu juga didapati gagal mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan selepas tong simpanan ais mempunyai kesan hitam dan berdaki. Jurucakap Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang berkata, pihaknya menemui beberapa ekor lipas di mesin pengisar ais yang digunakan untuk membuat air batu campur (ABC) ketika pemeriksaan.

Menurutnya, terdapat dua restoran di Bandar Perda dan Butterworth diarah tutup dalam Ops Penang Sihat selepas didapati gagal mematuhi syarat kebersihan premis. “Operasi berkala ini dilakukan bagi memastikan pemilik premis menjual makanan mematuhi syarat kebersihan dan peraturan yang ditetapkan.

 “Kedua-dua restoran itu diarah tutup bermula hari ini untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya. Setakat jam 5 petang hari ini, sejumlah lapan daripada 21 premis makanan yang diperiksa diarahkan tutup.

 Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, seramai 202 pengendali makanan diperiksa dalam operasi itu dengan jumlah keseluruhan kompaun berjumlah RM18,600.

 Menurutnya, sebanyak 31 Notis 32B yang memberi kuasa untuk memerintahkan kehadiran ke mahkamah dikeluarkan ke atas pemilik premis yang didapati melanggar peraturan, “Antara kesalahan lain yang dikesan dan diberi amaran termasuk tidak mempunyai suntikan tifoid dan tidak mengikuti latihan pengendali makanan,” katanya.

Sumber -Harian Metro-

No comments:

Post a Comment