Annuar berkata ini kerana Umno mempunyai matlamat kepentingan agama dan ummah.
“Bagi yang tidak suka lihat PAS dengan Umno bekerjasama, tentulah mereka akan membuat pelbagai tomahan.
“Bagi kita itu tidak penting, yang penting kita buktikan atas perkara yang ada kebersamaan. Banyak orang salah faham kita kerjasama dalam kebaikan untuk agama dan ummah bukan bergabung.
“Tinggalkan politik kebencian dan jangan sampai kita lupa tentang kebersamaan,” katanya selepas menyertai sebuah sesi dialog di ibu pejabat parti di PWTC malam tadi.
Baru-baru ini, Annuar berkata konsep “ta’awun” (kerjasama) dengan PAS boleh menjayakan banyak perkara termasuk pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang diusahakan PAS.
Kenyataan Annuar itu bagaimanapun tidak disenangi pemimpin Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak.
Selasa lalu, dalam dialog dihadiri ahli dan penyokong Umno di Pulau Pinang, Annuar turut membayangkan “kerjasama lebih erat” dengan PAS sambil menyifatkan kedua-dua parti itu “berkongsi DNA sama”.
Annuar berkata segala bentuk kerjasama akan diputuskan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa, menyifatkan kerjasama antara PAS dan Umno boleh dilakukan tanpa bergabung.
“Saya optimis kerjasama tersebut dapat menyatupadukan orang Melayu dan rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang aman damai. Saya masih berpegang kepada kaedah kerjasama itu untuk berbincang dan merancang masa depan politik dan melihat sesuatu demi kepentingan negara,” katanya dipetik Bernama selepas menyampaikan syarahan di Wisma Putra semalam.
Nasharudin yang kini mengetuai Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), berkata PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini sudi membuka jalan perbincangan kepada BN.
“PAS tidak perlu sertai Umno dan sebaliknya. Tetapi apa yang penting kedua-dua parti perlu bekerjasama mencari formula terbaik demi kebaikan kedua-dua belah pihak,” katanya.
No comments:
Post a Comment