Lim Guan Eng diminta menilai tahap integriti diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengajak rakyat turun ke jalan raya kononnya sebagai manifestasi melawan rasuah dalam Himpunan Rakyat yang bakal dianjurkan Pakatan Harapan diketuai DAP pada 14 Oktober ini.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak layak bercakap atau cuba menjadi jaguh dalam soal itu sedangkan pertuduhan rasuah melibatkannya berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo mewah di bawah nilai pasaran masih belum diselesaikan lagi.
“Program Himpunan Rakyat ini sepatutnya diadakan di Pulau Pinang bukannya di Kuala Lumpur kerana pentadbiran Guan Eng sendiri pun belum tentu bersih.
“Oleh itu, beliau diingatkan tidak perlu menuding jari kepada pihak lain kononnya mengamalkan rasuah, bertindak zalim dan menindas rakyat sedangkan pemerintahan DAP di negeri itu banyak mendapat bantahan rakyat” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, menerusi Facebook Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu mengajak rakyat Pulau Pinang turun ke perhimpunan berkenaan untuk melawan rasuah, menentang cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan melawan kezaliman.
Dalam pada masa itu, Cheng Guan berkata, Guan Eng mungkin tidak sedar pemerintahan beliau di Pulau Pinang turut menindas rakyat terutama masyarakat Melayu seperti perobohan kampung-kampung orang Melayu.
Justeru, beliau mempersoalkan adakah cara berkenaan bukan dianggap satu kezaliman di mata DAP apabila sanggup memusnahkan penempatan rakyat.
No comments:
Post a Comment