Thursday 3 August 2017
Majlis Presiden Pakatan Harapan bertindak biadap terhadap Yang Di-Pertuan Agong?
Pada 7 Julai 2017, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berikut:
1. Berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei 2017, telah memperkenankan seperti berikut:
(i) YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus bin Sharif yang telah dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh 3 tahun mulai 4 Ogos 2017 di bawah Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan, terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan untuk tempoh yang sama; dan
(ii) YAA Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli bin Ahmad Makinudin yang telah dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh 2 tahun mulai 28 September 2017 di bawah Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan, terus memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan mulai tarikh dan untuk tempoh yang sama.
2. Pelantikan YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus bin Sharif dan YAA Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli bin Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan setelah masing-masing mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan adalah atas sembah cadangan dan nasihat Ketua Hakim Negara pada ketika itu, YAA Tun Dato’ Seri Arifin bin Zakaria kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2017 sebelum Yang Amat Arif bersara. Cadangan dan nasihat itu telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.
3. Keputusan-keputusan dan aturcara-aturcara di atas adalah selaras dengan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang.
Pada 2 Ogos 2017 pula, Majlis Presiden Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan (yang ditandatangani oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dan Datuk Dr Mujahid Yusof, Naib Presiden AMANAH) berikut:
Hari ini, kami telah menyembahkan warkah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membawa ke perhatian Tuanku YDPA beberapa perkara seperti berikut:
1. Isu pelantikan semula jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai 2017 adalah mencabuli Perlembagaan Persekutuan.
2. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jawatan Ketua Hakim Negara mahupun Presiden Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.
3. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan juga, perlantikan dua jawatan yang diumumkan itu adalah dibuat oleh Tuanku YDPA di atas nasihat YAB Perdana Menteri; maka Tuanku berhak untuk menampilkan perkara ini untuk diputuskan mahkamah sebelum ianya berkuatkuasa.
4. Perlanjutan semula jawatan Ketua Hakim Negara yang disandang YAA Tan Sri Md Raus Sharif akan berkuatkuasa dalam masa dua hari lagi, iaitu pada 4 Ogos 2017.
5. Sekiranya perkara ini tidak ditangani segera, ia akan mewujudkan satu krisis kehakiman kerana kesemua perbicaraan ataupun keputusan selepas 4.8.17 akan menjadi TIDAK SAH. Malah sistem pentadbiran badan kehakiman yang juga dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara akan menjadi cacat disebabkan badan kehakiman tidak diuruskan hakim yang sah di sisi perlembagaan.
6. Di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, cuma Tuanku YDPA yang boleh membuat rujukan permasalahan perlembagaan untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.
7. Justeru, kesemua kami yang mewakili keempat-empat parti gabungan dalam PAKATAH HARAPAN, melalui warkah ini menyeru agar Tuanku YDPA melaksanakan budibicara Tuanku untuk membuat satu rujukan ke Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan samada pelantikan semula itu sah ataupun tidak.
8. Ini adalah untuk menjamin Tuanku YDPA dapat memelihara keluhuran perlembagaan Malaysia daripada dicemari, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Seperti dijelaskan oleh kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan semula Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan pelantikan semula Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, walaupun atas nasihat Perdana Menteri, adalah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei 2017.
Begitu juga dengan pelantikan Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif dan Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan, walaupun atas sembah cadangan dan nasihat Ketua Hakim Negara pada ketika itu, YAA Tun Dato’ Seri Arifin bin Zakaria pada 30 Mac 2017, adalah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Bila Majlis Presiden Pakatan Harapan menyatakan bahawa pelantikan semula jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan ini adalah mencabuli Perlembagaan Persekutuan maka ini bermakna Majlis Presiden Pakatan Harapan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah melakukan tindakan yang mencabuli Perlembagaan Persekutuan.
Dari segi adabnya, jika kita mendakwa seorang lain melakukan kesilapan maka kitalah yang sepatutnya membawa perkara itu ke mahkamah, bukan meminta orang itu berbuat demikian. Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong tentulah berpandangan bahawa tindakan Baginda membuat pelantikan semula mereka itu sah, sebab itulah Baginda berbuat begitu. Apatah lagi bila, di dalam kes pelantikan semula Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan pelantikan semula Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, keputusan Baginda ini dibuat selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei 2017.
Pada hemat saya, tindakan Majlis Presiden Pakatan Harapan menyeru agar Yang di-Pertuan Agong membuat satu rujukan ke Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan samada pelantikan semula jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan itu sah ataupun tidak adalah satu tindakan yang sangat tidak beradab kerana ia memberikan gambaran Majlis Presiden Pakatan Harapan mahu mengajar Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas Baginda dengan betul, apatah lagi bila Majlis Presiden Pakatan Harapan awal-awal lagi telah mengisytiharkan bahawa apa yang dibuat oleh Baginda, iaitu melantik semula jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan itu, adalah tidak betul.
Sumber : Dr Kamarul Yusoff
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment