Friday 28 July 2017

Pemuda Umno: Manifesto sejuta pekerjaan, rumah untuk setiap keluarga memalukan

: Pemuda Umno berkata manifesto sejuta peluang pekerjaan dan rumah untuk setiap keluarga yang dijanjikan Pemuda Pakatan Harapan memalukan dan terkebelakang, kerana BN sedang memenuhi keperluan pekerjaan dan perumahan melalui pelbagai rancangan kerajaan.

“Wilayah Persekutuan sahaja kita ada lebih 80,000 rumah mampu milik dan tawaran 1 juta peluang pekerjaan itu sikit sangat sebab tahun ini sahaja kita dah wujudkan 1.8 juta peluang pekerjaan,” kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Datuk Razlan Rafii kepada FMT.

“Pemuda PH sepatutnya buat kajian dahulu, malah dalam tangan mereka langsung tidak ada hasil kajian dan hanya main cakap sahaja untuk menyedapkan hati, itu satu tawaran yang memalukan.”
Razlan menambah pihaknya teruja dengan projek Tun Razak Exchange yang akan membuka peluang kepada rakyat tempatan bekerja dengan syarikat antarabangsa.
“Kerajaan BN tidak pernah gagal dalam membangunkan negara dan tiada siapa boleh pertikai. Kita tengok, terbaharu kita ada MRT,” tambahnya.

Pemuda PH dalam manifesto pilihan raya mereka berjanji akan menumpukan perhatian kepada menambah peluang pekerjaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada lebih 3 juta pekerja asing.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzli berkata Pemuda PH akan memastikan kadar gaji minima ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM1,500 dalam usaha menarik minat rakyat tempatan melibatkan diri dalam sektor pekerjaan “3D” iaitu kotor (dirty), sukar (difficult) dan bahaya (dangerous).

Mereka juga menjanjikan setiap keluarga mampu memiliki kediaman sendiri sekiranya PH berjaya mentadbir Putrajaya.
Bagaimanapun, Pemuda Umno Wilayah menggesa Pemuda PH menyelesaikan masalah di negeri sendiri terlebih dahulu sebelum menjanjikan sejuta pekerjaan dan rumah untuk setiap keluarga dalam manifesto mereka.

“Selesaikan isu perumahan di Pulau Pinang dulu. Harga pangsapuri yang ada pun boleh mencecah RM1 juta hingga RM2 juta.
“Di Selangor dan Pulau Pinang, kerajaan negeri bukan sahaja gagal menyediakan projek perumahan mampu milik, malah tidak ada langsung projek tersebut dibuat. Yang ada hanya projek kerajaan pusat menerusi PR1MA,” katanya. FMT

No comments:

Post a Comment