Barisan Nasional (BN) mula memperhebatkan usaha membantu rakyat menerusi program Jom Bantu Rakyat, usaha terbaharu melibatkan Pemuda Pulau Pinang hari ini yang mengedarkan hampir 4,000 botol minyak masak satu liter secara percuma.
Sumbangan berikutan seruan ‘Jom Bantu Rakyat’ oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini diagihkan kepada penduduk tanpa ada diskriminasi politik. Ia diedarkan kepada penduduk di 13 kawasan parlimen di negeri itu, hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas mengedarkan minyak masak di Pasar Awam Jelutong di sini, ketua Pemuda BN Pulau Pinang Hng Chee Wey berkata, program itu bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup penduduk terutama dari segi keperluan harian.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita mesti mempunyai pandangan yang jauh dari masa ke masa dan bukan hanya pandai bermain politik dalam isu rakyat dan negara demi kepentingan masing-masing sahaja,” katanya dipetik Bernama.
Beliau turut menyeru pihak swasta agar lebih aktif dalam melakukan program tanggungjawab sosial korporat bagi membantu mereka yang memerlukan.
Sebelum ini, Pemuda BN Wilayah Persekutuan memulakan pemberian minyak petrol percuma. Program itu dimulakan bulan lalu dan diteruskan hari ini dan esok.
No comments:
Post a Comment