BUKIT MERTAJAM – Pas negeri akan mengambil tindakan undang-undang
terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung dakwaan tidak mewartakan fatwa
yang sudah diluluskan di negeri ini.
Ketua Pemudanya,
Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya ketika ini sedang dalam proses
perbincangan dengan peguam sebelum tindakan undang-undang itu diambil dalam
masa terdekat.
“Tindakan saman ini
sebagai bukti yang mana Pas negeri ini bersungguh-sungguh dalam perjuangan
membela kepentingan Islam.
“Keputusan tidak
mewartakan fatwa yang sudah diluluskan jelas membelakangkan Yang di-Pertuan
Agong yang merupakan ketua agama Islam di negeri ini,” katanya kepada pemberita
selepas perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas negeri kali ke-37 di sini pagi ini.
Sebelum ini, Afnan
Hamimi mendakwa, wujud campur tangan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK)
negeri sehingga menyebabkan empat fatwa yang sudah diluluskan tidak diwartakan
atas alasan tidak bersesuaian dengan situasi politik semasa.
Dakwa beliau, empat
fatwa itu adalah larangan umat Islam memasuki pertandingan ratu cantik; hukum
menghisap shisha; pengurusan tanah negeri serta pengurusan tanah wakaf. –
UTUSAN ONLINE

No comments:
Post a Comment