Saturday, 4 March 2017

TKM1 PULAU PINANG MINTA DUIT DARI ORANG RAMAI DI FACEBOOK?



Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon menjadi mangsa penyamaran melalui akaun Facebook palsu yang menipu rakannya untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan.

Sehubungan itu, Mohd Rashid meminta orang ramai agar tidak tertipu dengan tindakan individu tersebut kerana 2 rakannya sudah ditipu.

 “Individu itu menghantar mesej melalui akaun Facebook palsu dengan alasan saya kesempitan wang. “Apa yang dikesalkan, 2 rakan saya tertipu dan masing-masing memasukkan RM100 dan RM780 ke dalam akaun seperti yang diminta,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Mohd Rashid, beliau menerima banyak panggilan telefon dari rakannya semalam yang mahu tahu mengapa saya meminta sejumlah wang daripada mereka melalui Facebook.

“Saya amat terkejut kerana saya tidak pernah berbuat demikian termasuk meminta wang dari rakan saya. Menyedari ada yang tidak kena, saya kemudiannya memeriksa akaun tersebut.

“Memang benar, individu tidak bertanggungjawab itu menggunakan nama dan hampir semua gambar saya bagi menipu mangsa yang terdiri daripada rakan saya,” katanya yang menjelaskan laporan polis dibuat semalam.

Katanya individu itu meminta kakitangan dan rakannya memasukkan wang ke dalam 2 akaun bank dan akaun Facebook tersebut didapati dipadamkan tengah hari semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata polis sudah mengenal pasti suspek tersebut dan sedang berusaha menjejakinya. Mior Faridalathrash berkata Mohd Rashid membuat laporan polis semalam selepas dimaklumkan mengenai perkara itu oleh kakitangannya kira-kira pukul 9.00 pagi ketika menghadiri Mesyuarat Exco di Komtar.

“Suspek menyamar menggunakan nama Haji Rashid Bayan Baru dan meminta kakitangan timbalan ketua menteri 1 itu memindahkan wang dan akibatnya, seorang daripada rakan Mohd Rashid terpedaya serta mengalami kerugian RM100.

 “Mangsa membuat transaksi pindahan wang ke akaun bank suspek melalui perbankan dalam talian dan Mohd Rashid membuat laporan polis kerana takut nama dan gambarnya digunakan untuk penipuan,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment