Tuesday, 28 March 2017

Roboh Gerai berusia lebih 20 Tahun, MCA selar sikap kerajaan P. Pinang


PULAU PINANG 27 Mac - Parti MCA negeri menyelar sikap berdiam diri Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam isu perobohan 14 gerai penjaja di Rumah Hijau, Jalan Mak Mandin, dekat sini baru-baru ini.

Setiausaha organisasi MCA negeri, Dr. Tan Chuan Hong berkata, tindakan menghalau penjaja berkenaan yang sudah berniaga di situ sejak lebih 20 tahun lalu disifatkan sebagai tidak mempedulikan rintihan rakyat khususnya golongan miskin.

Lebih mengejutkan, kata beliau, kumpulan penjaja berkenaan diusir menerusi notis dalam tempoh 14 hari tanpa diberikan pampasan atau pembelaan sewajarnya.

“Kumpulan penja¬ja ini hanya meminta satu lokasi untuk memboleh¬kan mereka berniaga, mengapa kerajaan negeri tidak membantu dan memberi mereka pilihan?

“Adakah ini dasar kerajaan tempatan yang diamalkan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 21 Mac lalu, kumpulan penjaja ber¬kenaan mengadakan demonstrasi aman di tapak perniagaan mereka bagi membantah tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengeluarkan notis supaya mereka mengosongkan kawasan itu dalam masa 14 hari.

Dalam pada itu, Chuan Hong turut mempertikai tindakan menghalau penjaja tersebut memandangkan seramai lapan daripada 14 penjaja berkenaan mempunyai lesen sah untuk berniaga.

Sehubungan itu, kata beliau, kumpulan penjaja berkenaan tidak boleh didakwa sebagai peniaga haram sekali gus perlu dibayar pampasan atau ganti rugi setimpal sebelum dihalau.

“Kerajaan negeri perlu memikirkan bagaimana nasib penjaja kecil yang datang dari keluarga miskin dan sederhana ini mahu meneruskan hidup selepas mata pencarian mereka dihalang.

“Kita juga tertanya-tanya di mana suara wakil rakyat DAP dalam isu ini yang sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka membela nasib penjaja berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment