Wednesday, 29 March 2017

KDN rampas selipar dengan kalimah nama Allah


Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan aduan orang ramai berhubung penjualan selipar yang didakwa tertulis kalimah nama Allah iaitu Ya Hayyu Ya Qayyum adalah benar.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata lembaga itu meneliti selipar berkenaan dan mendapati tertulis kalimah Ya Hayyu Ya Qayyum yang mempunyai kalimah suci daripada Asma’ al-Husna (Himpunan 99 nama Allah).

“Sehubungan itu, rampasan dibuat dan tindakan lanjut sedang dilakukan Kementerian Dalam Negeri melalui Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran juga menasihatkan orang ramai yang membeli selipar berkenaan supaya menyerahkannya kepada KDN atau Jabatan Agama Islam Negeri untuk tujuan pelupusan, katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Harussani berkata semakan dan penelitian Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran mendapati tulisan pada tapak kasut jenama Bata yang viral di media sosial tidak menyerupai kalimah Allah.

“Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran merakamkan jutaan terima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia yang beragama Islam yang terlebih dulu merujuk perkara ini kepada kami,” katanya. FMT

No comments:

Post a Comment