ALOR SETAR, 23 Mac – “Memang sumber air datangnya dari Tuhan
tetapi kos merawat air ditanggung oleh kerajaan negeri Kedah. Jadi pemimpin Dap
Pulau Pinang jangan beri alasan kurang bijak”, demikian reaksi Menteri
Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah terhadap pentadbiran Dap Pulau
Pinang yang mempertikaikan isu air.
“Saya lihat mereka ini hanya fikir tentang mereka sahaja tetapi
tidak fikir tentang kami. Jika mereka mengatakan sumber air dari Tuhan jadi
mengapa mereka menjual air kepada kapal-kapal dan lain-lain… mengapa mereka
mengenakan bayaran kepada rakyat?
“Mereka harus sedar, Kedah terpaksa menanggung kos merawat air
dan sebagainya.. jadi janganlah sombong,” katanya
Menurut beliau walaupun hubungannya secara peribadi dengan Ketua
Menteri Pulau Pinang baik namun hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tidak
berjalan lancar.
“Maka ini menjadi punca jalan penyelesaian terhadap isu air ini
menjadi sukar. Selagi mereka tidak mahu datang bincang, kita biar saja isu ini.
“… lihat saja la sejauh mana depa (mereka) mahu degil,” ujarnya
lagi.
Jelasnya, kerajaan Pulau Pinang seharusnya menghantar wakil
untuk berbincang secara baik berkaitan sumber bekalan air mentah yang
dibekalkan oleh negeri Kedah kepada Pulau Pinang dan bukannya hanya menuding
jari dan tahu meminta sahaja.
“Mereka tahu meminta tapi tidak mahu datang berbincang… kita
kena ada ‘win win situation’ dalam perkara ini.
“Ini tidak… tiada seorang wakil pun yang mahu datang berbincang
tetapi mereka asyik mencari salah kita,” katanya.
Kerajaan Dap Pulau Pinang menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau
Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) sebelum ini sentiasa mendesak kerajaan Kedah untuk
menyelesaikan isu bekalan air ke negeri tersebut.
Bagi Kerajaan Negeri Kedah mereka kini hanya menunggu
keajaan Dap Pulau Pinang untuk datang dan berbincang dengan Kerajaan Negeri
untuk bermuafakat berhubung isu tersebut demi kepentingan rakyat.
Namun sayangnya kerajaan pimpinan Dap itu memberi alasan bahawa
sumber air itu datangnya dari Tuhan dan tidak sepatutnya menjadi isu kepada
Kerajaan Negeri Kedah untuk menidakkan hak negeri Pulau Pinang.

No comments:
Post a Comment