Tahukah anda dimana tempat-tempat paling berhantu dan menyeramkan di Malaysia? Sebenarnya terdapat banyak kawasan yang boleh dikategorikan paling berhantu di Malaysia.
Mungkin kerana terlalu banyak kejadian-kejadian misteri dan pelik yang berlaku dikawasan tersebut sehingga menjadi lokasi yang paling menakutkan kepada orang ramai.
Berikut ini adalah beberapa tempat paling misteri dan berhantu di Malaysia:
1. Lebuhraya Karak, Pahang
Lebuhraya ini dibuka kepada orang awam sejak tahun 1977, menghubungkan KL dengan Karak dan telah dinaiktaraf daripada 4 lorong ke 6 lorong pada 1997.
Banyak kemalangan maut telah terjadi di lebuhraya ini dan salah satunya pada 1990, 17 orang telah mati dalam kemalangan melibatkan 10 kereta, kereta polis, lori dan sebuah bas.
Antara kisah yang popular adalah apabila sebuah kereta Volkswagen warna kuning tiba-tiba muncul di hadapan kereta kita. Jika kita potong, selepas itu akan kelihatan lagi kereta Volkswagen kuning tadi di hadapan. Potong lagi dan kita jumpa lagi kereta itu!
Apa yang menakutkan, bila diteliti tiada manusia di dalam kereta itu!
Satu lagi kisah berkenaan 4 orang hamba Allah dalam perjalanan dari Shah Alam ke Tanah Merah. Semasa melalui Bentong, tiba-tiba dua orang daripada mereka, Saifullah dan Hadi telah terdengar bunyi selepas terhempas di bahagian belakang kereta. Dua rakan lain Azizi dan Malik sedang tidur.
Selepas melihat cermin belakang, mereka tidak nampak apa-apa. Semasa memotong sebuah lori balak, pemandu lori itu menyalakan lampu besar berulang kali.
Beberapa kenderaan yang memintas kereta mereka turut menyalakan lampu tinggi dan membunyikan hon, mengejutkan rakan yang sedang tidur.
Memikirkan kemungkinan sesuatu berlaku terhadap keretanya, Saifullah ambil keputusan berhenti di bahu jalan untuk melihat-lihat jika ada yang tidak kena.
Semasa Hadi dan Saifullah membuka pintu kereta, Malik yang kebetulan memalingkan muka ke cermin belakang menjerit meminta perjalanan diteruskan sambil menepuk-nepuk belakang kerusi.
Malik mengalami ketakutan yang amat sangat setelah ternampak pontianak sedang berbaring di atas but kereta, dengan wajahnya menghadap mereka.
2. Bukit Putus, Negeri Sembilan
Jalan bengkak-bengkok seperti ular kena palu merupakan laluan paling seram pada waktu tengah malam di Malaysia. Bukit Putus pernah menjadi lokasi banyak kemalangan dan aktiviti jenayah, antaranya mayat dicampak ke dalam gaung.
Antara kisah seram yang berlaku di sini adalah pemandu yang terserempak dengan sekumpulan orang sedang mengusung keranda. Jika bernasib baik, anda akan ternampak wanita mendukung anak di tengah jalan.
3. Victoria Institution, Kuala Lumpur
Dibina pada 1893, sekolah ini adalah yang tertua di KL. Berikut adalah diantara kisah seram yang dikaitkan dengan Victoria Institution.
Kisah Satu
Ada satu bilik muzik yang terletak di bawah tanah. Untuk ke bilik ini perlu melalui terowong yang panjang. Seorang pelajar telah hilang di sini dan belum lagi ditemui sehingga hari ini.
Kisah Dua
Berdasarkan pengalaman seorang pengawal keselamatan. Suatau hari dia bertugas untuk shift malam. Seperti biasa dia membuat rondaan di sekitar sekolah.
Semasa melalui Pavilion (stor barangan sukan) dia terdengar bunyi orang sedang berkawad di padang.
Selepas itu pengawal tersebut telah mengambil cuti sakit kerana demam panas. Dia mendakwa telah ternampak sepasukan tentera Jepun sedang berkawad!
Kisah Tiga
Semasa pendudukan Jepun, sekolah ini telah dijadikan markas tentera. Tandas di Victoria Institution telah menjadi tempat memancung kepala tawanan perang.
Diceritakan, pernah seorang pelajar ternampak mayat tergantung di pintu tandas. Ada juga yang cerita telah melihat darah mengalir keluar dari dalam tandas.
Jangan terkejut disebalik banyak kisah mistik yang terjadi, Tandas 206 tersebut masih lagi digunakan!
Kisah Empat
Di Victoria Institution ada sebuah menara jam dengan tinggi kira-kira 30 meter. Ramai pelajar pernah ternampak “benda” duduk di atas menara jam itu pada waktu malam.
Kisah Lima
Kisah daripada pelajar-pelajar yang terlibat dengan kumpulan koir. Mereka selalu berlatih sehingga lewat malam di sekolah.
Suatu kisah yang berlaku pada 2005, seorang anggota koir telah hilang dan ditemui semula sedang tidur di atas tangki air.
Setelah ditanya, pelajar ini berkata dia telah terjumpa seorang wanita berjalan seorang diri di dalam kawasan sekolah. Atas dasar prihatin dia cuba bertanya pada wanita itu, namun kemudiannya tidak sedarkan diri dan tidak ingat apa-apa.
4. Penjara Pudu, Kuala Lumpur
Dibina pada zaman penjajahan British dan digunakan sebagai kem tahanan perang semasa penjajahan Jepun dan pernah menempatkan sehingga 2000 tahanan, termasuklah penjenayah terkenal Botak Chin, yang telah dihukum mati pada 1981.
Suara jeritan boleh didengar dari tempat hukuman dilakukan, walaupun ketika tiada orang di situ dan sesetengah tempat didalam penjara ini dikatakan lebih sejuk.
Penjara Pudu telah dirobohkan pada tahun 2009 untuk memberi laluan kepada pembangunan komersil.
Diharap bangunan baru yang sedang dalam pembinaan bebas daripada gangguan makhluk halus.
5. Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang
Masyarakat Cina percaya di mana ada lampu yang menyala iaitu Yang, makan Yin iaitu bayang-bayang akan muncul bersama.
Namun begitu, sesetengah tempat sinaran Yang tidak masuk, makan kegelapan Yin akan menyelubungi dan antara tempat yang dikaitkan dengan unsur Yin adalah dewan.
Mengikut cerita yang agak popular tentang Dewan Sri Pinang, seorang penari telah dirasuk ketika membuat rehearsal.
Penari itu bergayut dan meminta penari lain untuk berdansa bersama sebelum menyuruh mereka semua melakukan penyembahan di sekitar dewan termasuklah kawasan sempit di bawah pentas.
Penari seakan berkhayal dan tubuhnya seperti dikawal kuasa ghaib. Kekasih wanita itu cuba untuk menyedarkannya.
Tiba-tiba wanita itu menjerit dengan kuat dan mengarahkan semua orang untuk tinggalkannya seorang diri di situ.
6. Highland Towers, Ampang
Seorang pemandu teksi telah mengambil penumpang wanita berpakaian putih di tepi jalan. Pada masa itu sudah pukul satu pagi.
Wanita itu meminta untuk dihantar ke Taman Hill View, Highland Towers dan pemandu teksi itu bersyukur kerana taman itu terletak dalam perjalanan ke rumahnya.
Dia terlupa yang penduduk telah diarahkan berpindah dan tempat itu telah pun dikosongkan.
Mereka tiba di Highland Towers. Pemandu teksi mengingatkan wanita itu supaya berhati-hati, kerana tempat itu keras.
Wanita itu membalas, 'Saya tahu, tapi saya tetap ingin ke sana.'
Kenapa ingin masuk ke situ, tanya pemandu teksi. Wanita itu membalas, 'Saya tertinggal tangan dan kaki.'
7. Sandakan Memorial Park
Taman yang dibina sempena mereka yang telah terkorban ketika peristiwa Perarakan Maut Sandakan.
Mengikut sejarah, dari Januari hingga Ogos 1945, lebih seribu tahanan warga Australia dan Britain telah dipaksa berarak dari Sandakan ke Ranau dalam perjalanan sepanjang 260 kilometer. 6 orang sahaja daripada jumlah itu yang hidup. Selebihnya mati.
Taman yang dibina itu adalah tempat bermulanya perarakan maut tersebut.
8. Bukit Hantu, Penang
Dengar namanya saja sudah menyeramkan. Juga dikenali sebagai Bukit Maung, NatGeo mengisytiharkan Bukit Hantu sebagai antara 10 tempat paling berhantu di Asia.
Pihak British telah membina sebuah kubu di puncak bukit ini untuk mempertahankan Pulau Pinang daripada serangan musuh, namun kubu ini jatuh ke tangan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Seorang pegawai tentera Jepun telah melaksanakan seksaan dan hukuman pancung kepala kepada ramai mangsa.
Setelah mati, roh pegawai itu mengganggu penduduk setempat. Rohnya dikatakan menjadi penunggu di Bukit Hantu, yang kini telah menjadi muzium perang.
9. Tambun Inn, Ipoh
Hotel tiga tingkat ini terletak berhampiran tanah perkuburan cina. Pengunjung hotel ini melaporkan lampu dinyalakan dan dipadam sendiri.
Mereka mendengar bunyi pelik, seperti berbisik atau menjerit dan mereka tidak dapat memastikan dari mana datangnya bunyi itu.
Ada juga pengunjung yang tidur di bilik sendiri tetapi esoknya bangun di bilik lain.
Bukan pengunjung juga tidak terkecuali. Sesuatu dikatakan menumpang motosikal seorang lelaki ketika dia melewati kawasan itu. Dia merasakan motosikalnya terasa berat, seperti ada seseorang menumpang di belakang.
10. Hotel First World, Genting Highlands
Pusat peranginan dan Hotel First World ini dikatakan dihuni hantu-hantu mereka yang membunuh diri selepas kalah besar di kasino.
Kanak-kanak menangis dan tidak mahu pergi ke sesetengah kawasan dalam hotel. Pengunjung yang sihat walafiat tiba-tiba jatuh sakit tanpa sebab munasabah. Anda mungkin terhidu bau kemenyan, dipercayai adalah makanan untuk jin dan hantu.
Beberapa bilik daripada 6118 buah dikatakan keras dan pihak hotel tidak pernah menyewakan bilik-bilik ini, walaupun ketika bilik-bilik lain sudah habis ditempah.
Seluruh tingkat 21 dikatakan keras dan lif dikatakan sering tidak berhenti di tingkat itu tanpa sebab.
Menurut sumber yang dirahsiakan, ada 1 bilik yang tersorok di dalam kasino khas untuk golongan VVIP sahaja.
Sumber itu memaklumkan terdapat sekuntum bunga teratai emas yang misteri. Teratai ini ibarat tukang ramal kerana jika bunga ini mengembang, ramai kaki judi akan menang pada masa itu. Sebaliknya jika tidak kembang, kasino akan mendapat semua keuntungan.
Dalam bilik yang sama, ada sami-sami yang ditugaskan untuk menyekat makhluk halus yang dibawa penjudi, yang tujuannya untuk memberi kemenangan.
Sami-sami ini akan dapat tahu jika penjudi membawa belaan mereka dan belaan ini disekat di kawasan meletak kenderaan berhampiran selekoh ke Genting.
Wallahu a'lam.
Sumber: MRC
No comments:
Post a Comment