BALIK PULAU, 28 Feb – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau
Betong, Datuk Mohd Farid Saad mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang untuk
menjelaskan berapakah jumlah wang yang sudah disalurkan oleh Kerajaan Negeri
kepada Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) untuk pembinaan perumahan mampu
milik dari hasil penjualan tanah tambakan laut Bayan Mutiara yang selalu
diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri sehingga 2016.
Jelasnya, agak menghairankan sekiranya PDC yang sudah menerima
suntikan kewangan RM500 juta daripada Kerajaan Negeri tetapi masih memerlukan
pinjaman daripada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projeknya.
“Dalam Bajet 2017, Kerajaan Negeri ada menyebut akan memberi
pinjaman berjumlah RM609 juta kepada PDC. Mengikut penjelasan Ketua Menteri Lim
Guan Eng, pinjaman ini adalah bertujuan untuk membolehkan PDC membuat
pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan di kawasan Seberang Perai.
“Batu Kawan adalah satu kawasan di daerah Seberang Perai Selatan
dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini memiliki tanah yang cukup dan
boleh dibuat pembangunan di situ. Malangnya Kerajaan Negeri di bawah Dap sejak
2012 lebih berminat dan memilih untuk menjual sebahagian besar tanah Batu Kawan
kepada pemaju-pemaju swasta dan tidak diberikan kepada PDC untuk
membangunkannya.
“Tindakan ini menafikan peluang PDC untuk membangunkan
tanah-tanah tersebut sekaligus menafikan peluang PDC untuk membuat keuntungan
sehingga menyebabkan Kerajaan perlu memberikan suntikan modal tambahan dalam
bentuk pinjaman kepada PDC untuk tahun 2017,”
Tambah beliau, walaupun kerajaan negeri memberi pinjaman kepada
PDC namun sehingga kini perumahan mampu milik masih menjadi isu di Pulau
Pinang.
Pada tahun 2012, Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan bahawa
sekurang-kurangnya 18,000 unit rumah mampu milik dijangka dibina oleh pihak
kerajaan negeri di bawah Fasa 1 dan 2 Tabung Perumahan Mampu Milik RM500 juta
dan ianya telahpun dilancarkan pada 17 Februari 2012.
Namun sayangnya jelas Mohd Farid sehingga kini tiada satupun
rumah mampu milik yang telah dibina oleh kerajaan negeri.
“Isu rumah mampu milik ini sebenarnya masih tidak dijawab
sehingga kini. Sampai bila kerajaan negeri mahu mengunci mulut.
“Kerajaan negeri perlu bersikap telus dan menerangkan hal
sebenar kepada rakyat melainkan ada perkara yang tidak betul dan mahu
disembunyikan daripada pengetahuan rakyat,” ulasnya lagi.
No comments:
Post a Comment