Friday, 20 May 2016
JANJI DAP HANYALAH JANJI POLITIK, TIDAK MUNGKIN AKAN DITUNAIKAN
BUKIT MERTAJAM, 20 Mei – “Kalau isu rumah rakyat miskin, peniaga miskin pun Dap boleh berdolak dalih apatah lagi isu jawatan ketua menteri. Maka tidak hairanlah kalau ada janji hadkan tempoh jawatan ketua menteri pun mereka boleh berputar belit”, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir
Jelasnya sudah menjadi politik sebati pembangkang yang hanya bijak menabur janji bulan bintang tetapi apabila sudah mendapat kuasa semua janji akan tinggal janji.
Tambah beliau lagi jika dulu rakyat mempersoalkan janji-janji yang ditaburkan tetapi kini bukan sahaja rakyat malah ahli atau wakil rakyat Dap turut sama mempertikaikan tindakan kepimpinan Dap yang gemar memungkiri janji dan berdolak dalih.
“Jawatan ketua menteri yang disandang oleh Lim Guan Eng ini adalah kekuatan Dap dan secara khusus kekuatan untuk dirinya sendiri. Sebagai Setiausaha Agung Dap walaupun belum disahkan jawatan, sudah pasti Guan Eng mahukan jawatan itu.
“Jika orang lain yang mengambil jawatan ketua menteri, mungkin akan dibimbangi segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukan akan terdedah. Maka mana mungkin jawatan tersebut dihadkan kepada dua penggal seperti yang dicadangkan oleh Yee Cheu.
“Janji Dap ini sebenarnya hanyalah janji politik dan tidak mungkin ditunaikan. Janji ketika belum dapat.. bila sudah dapat semua janji bulan dan bintang lenyap. Menyalaklah sampai runtuh gunung namun saya pasti cadangan tersebut tidak sama sekali diterima,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Wakil Rakyat Dap iaitu ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu baru-baru ini mendakwa Dap negeri pernah berjanji untuk menghadkan jawatan ketua menteri sekiranya berjaya membentuk kerajaan di Pulau Pinang.
Jika parti terebut berjaya membentuk kerajaan, ADUN yang dipilih menjadi ketua menteri harus dihadkan tempohnya kepada tiga penggal sahaja bagi mengelak berlaku salah guna kuasa.
Tambah Musa lagi, lihat sahaja antara janji Dap iaitu isu tol Sungai Nyior yang kononnya akan dihapuskan namun ia bukan dihapuskan sebaliknya dinaikkan lebih 100 peratus daripada 50 sen sebelum ini kepada RM1.20.
“Tengok janji berhubung kadar air, janji berhubung pemuliharaan alam sekitar sedangkan secara terang bukit-bukit di depan mata Guan Eng digondolkan serta pelbagai lagi janji-janji melangit yang Dap taburkan. Semuanya hanyalah sekadar ingin mengaburi mata rakyat.
“Ini belum lagi tentang perilaku Guan Eng sendiri berkaitan penjualan dan penukaran status tanah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis yang digalang gantikan dengan banglo harga murah yang dibeli Guan Eng.
“Belum lagi dengan masalah banjir yang semakin memburuk di negeri itu yang secara jelas tidak menepati manifesto 2008 pembangkang kononnya akan menyelesaikan masalah tersebut. Kalau janji untuk kebaikan rakyatpun Dap gagal tunaikan maka apatah lagi janji yang berhubungkait dengan jawatan ketua menteri,” ujar lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment