Sunday, 19 July 2015

Pengakuan Lester Melanyi : Rahman Dahlan Persoal Kesungguhan Lim Kit Siang Lencongkan Isu


Perang mulut antara Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan pemimpin DAP Lim Kit Siang berterusan, dengan menteri Umno tersebut mempersoalkan alasan pemimpin pembangkang veteran itu memburuk-burukkan bekas wartawan Sarawak, Lester Melanyi.

Melanyi muncul dalam satu klip video membuat pengakuan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh laman web pemberi maklumat Sarawak Report.

Menulis di laman Facebooknya, Rahman berkata Lim sepatutnya mengalu-alukan pengakuan Melanyi dan menggalakkan polis menyiasat perkara tersebut.

"Malangnya, Kit Siang memilih untuk tidak memperdulikan mesej itu dan sebaliknya memburuk-burukkan dan mengecam pembawa mesej itu," katanya.
Rahman mendakwa pada Rabu, pemimpin pembangkang bekerjasama dengan Sarawak Report memalsukan dokumen yang membawa kepada beberapa pendedahan dibuatnya berhubung 1MDB.

Katanya, terdapat "bukti kukuh", termasuk sebuah video pengakuan, disertakan bersama satu laporan polis dibuat Ramesh Rao Krishnan Naidu, presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mesra Barisan Nasional (BN).

Laporan polis itu menamakan Melanyi sebagai bekas pengarang yang bekerja dengan Sarawak Report, tetapi ia dinafikan pengasas dan pengarang laman web itu Clare Rewcastle-Brown.

Bagaimanapun, Melanyi menegaskan semua maklumatnya adalah tulen dan beliau berpegang teguh kepada dakwaannya.

Rahman juga menegaskan rakyat harus memberi tumpuan kepada mesej yang dibawa Melanyi, bukannya kepada kredibilitinya. – 19 Julai, 2015.

Lim Kit Siang is a desperate conjurer. Conjurers are experts at misdirection.That is why in his haste to respond to...
Posted by Dato' Abdul Rahman Dahlan on Sunday, July 19, 2015

No comments:

Post a Comment