Saturday 18 July 2015

Kes Denggi Meningkat 3 Kali Ganda Di Pulau Pinang


Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatat peningkatan lebih tiga kali ganda sejak tempoh awal tahun hingga semalam, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata sebanyak 2,990 kes dilaporkan sepanjang tempoh itu berbanding 982 kes bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, usaha mengatasi masalah demam denggi adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak harus bekerjasama menghentikan pembiakan Aedes.

"Pulau Pinang mempunyai situasi yang sama dengan Selangor, dengan banyak kawasan projek pembinaan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Justeru, saya menyeru semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan penguatkuasaan memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana tapak projek pembinaan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya kepada pemberita selepas memberi sumbangan kepada petugas Hospital Sungai Bakap sempena perayaan Aidilfitri, di sini, hari ini.

Katanya, Pulau Pinang masih kekal negeri keempat yang mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi selepas Selangor, Johor dan Perak.

Beliau berkata, setakat semalam, jumlah kes demam denggi seluruh negara meningkat kepada 64,473 kes berbanding 47,871 kes tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment