Friday 10 July 2020

[VIDEO] #AirItam Bapa ditahan cuba pukul anak dengan penukul besi

Lelaki berusia 42 tahun ditahan polis kerana didakwa cuba memukul anak lelakinya berusia lapan tahun menggunakan penukul di Bandar Baru Farlim, Air Itam, di sini, semalam.

Suspek ditahan sejurus isterinya berusia 37 tahun yang juga pekerja kilang tampil membuat laporan di balai polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata isteri suspek yang tinggal di Jelutong, di sini, sebelum itu dikatakan menerima kiriman video daripada adiknya yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian lif sebuah perumahan di bandar berkenaan.

Katanya, pada video itu menunjukkan suspek cuba memukul mangsa dengan menggunakan penukul ketika berada dalam lif terbabit dan mangsa juga dilihat berada dalam ketakutan.



"Menerusi video itu juga, suspek dipercayai berada dalam keadaan seperti sedang mabuk dan tidak terurus.

"Suspek kemudian ditahan pada jam 9 malam tadi, berhampiran Air Itam dan mangsa yang turut diselamatkan juga akan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini bagi melakukan pemeriksaan kesihatan," katanya kepada media, hari ini.

Soffian berkata, siasatan awal mendapati suspek dan isterinya berkahwin pada 2008, namun sudah tinggal berasingan sejak empat tahun lalu, berikutan masalah rumah tangga manakala mangsa adalah anak tunggal mereka.

Katanya, didapati suspek yang bekerja sendiri itu mempunyai rekod jenayah lampau di mana tiga daripadanya berkait kes jenayah dan dua lagi bersangkut kes dadah.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dan dia akan dibawa ke mahkamah bagi direman dan siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya lagi.

BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment