Tuesday 14 July 2020

Doktor tukar pengakuan bersalah joging ketika PKP di Pulau Pinang


Seorang pakar kardiologi menukar pengakuan tidak bersalah kepada bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melanggar undang-undang kawalan penyakit berjangkit dengan berjoging di sebuah taman, di sini, ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dr Ong Hean Teik, 61, didenda RM1,000 kerana berjoging di Taman Bandaraya pada 19 Mac lalu, hari ke-2 PKP dikuatkuasakan, yang dianggap aktiviti tidak perlu.

Majistret Jamaliah Abd Manap memerintahkan Ong membayar denda di bawah Seksyen 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan berkata pertuduhan kedua terhadap Ong kerana menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang menjalankan tugas digugurkan.




Ong didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan menghalang penjawat awam bertugas itu membabitkan perbualan doktor itu dengan pegawai MBPP yang dirakam dalam video, di mana beliau berkata, PKP bukan perintah berkurung dan bertujuan mengelakkan orang ramai berkumpul di tempat awam.

Ong membayar ikat jamin RM13,000 untuk kedua-dua pertuduhan pada 30 Mac lalu.

Semasa proses mitigasi hari ini, peguam Hasnal Rezua Merican memberitahu mahkamah, Ong ialah warganegara yang patuh kepada undang-undang dan kejadian joging itu kesalahan pertamanya.


“Dia gemar berjoging dan melakukannya untuk menjaga kesihatan. Malah, satu daripada larangan yang pertama ditarik balik selepas PKP ialah berjoging, itulah yang dilakukan pada dasarnya,” kata Hasnal.

FMT

No comments:

Post a Comment