Saturday 22 July 2017

Penerima Darjah Kebesaran Diingat Jaga Tingkah Laku

Foto: BernamaFoto: BernamaGEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas hari ini mengingatkan penerima pingat, bintang dan darjah kebesaran supaya menunjukkan komitmen dan keperibadian tinggi serta menjadi teladan kepada masyarakat.
Beliau berharap semua penerima menjaga tatasusila dan tingkah laku pada setiap masa kerana masyarakat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah laku dan tutur bicara mereka.
"Suka saya mengingatkan anugerah ini dikurniakan kepada mereka yang terpilih yang telah menunjukkan komitmen dan ketinggian peribadi serta menjadi teladan kepada mereka yang lain.
"Semoga kurniaan anugerah ini mampu menyuntik semangat dan menjadi inspirasi kepada semua untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada negara khususnya negeri Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan ulang tahun beliau yang ke-79 di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Lim Guan Eng, Yang Dipertua Dun Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus serta barisan exco kerajaan negeri.
Upacara hari ini menyaksikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif yang merupakan penerima tunggal Darjah Panglima Pangkuan Negeri yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ mendahului senarai penerima pingat lain.
Sebanyak 170 individu menerima pingat dan darjah kebesaran masing-masing hari ini daripada 1,481 penerima yang disenaraikan pada sambutan tahun ini.
Sementara itu, Abdul Rahman menyeru rakyat Pulau Pinang supaya mengekalkan dan memantapkan kesatuan yang sedia terjalin.
Beliau berkata, walaupun berbeza fahaman dan ideologi, ia bukanlah alasan untuk tidak saling menghormati demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.
"Nilai-nilai murni yang dipupuk sekian lama seperti berbudi bahasa dan pekerti mulia, menghormati orang tua, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab mesti dikekalkan. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerapkan nilai-nilai ini dalam diri anak-anak kita agar mereka dapat bertahan di dunia yang penuh cabaran pada masa depan," katanya.
Selain itu, katanya institusi kekeluargaan juga perlu diperkukuhkan bagi mencapai matlamat itu selain sistem pendidikan yang mantap serta selari dengan keperluan semasa.
-BERNAMA

No comments:

Post a Comment