Friday 21 July 2017

Janji PM Dua Penggal Hanya Temberang, Usul Hadkan Jawatan KM P.Pinang Pun Mereka Tolak

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Tawaran 100 hari Pakatan Harapan dalam tujuh perkara utama termasuk komitmen mereka untuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja bukan sahaja meragukan malah ianya sekadar retorik politik semata-mata berdasarkan kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang.
Penganalisis politik, Azizi Safar berkata mengambil contoh bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berdepan dengan dakwaan di mahkamah masih tetap meneruskan khidmat sebagai ketua menteri walaupun didesak oleh pelbagai pihak agar beliau meletakkan jawatan.
Menurut beliau contoh kedua pula adalah bagaimana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang menolak usul ke Sidang DUN negeri berkenaan untuk menghadkan tempoh seseorang Ketua Menteri Pulau Pinang kepada dua penggal.
“Malah cadangan ini datangnya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dap sendiri namun ianya tidak mampu untuk dibawa ke sidang DUN. Berdasarkan kepada dua senario berkenaan, amat menghairankan komitmen untuk menghadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal diperkatakan.
“Sebab itulah pada saya ianya amat meragukan sama sekali komitmen tersebut. nampak di atas kertas memanglah cantik dan menarik namun apa yang berlaku di depan mata adalah sebaliknya.
“Tidak salahlah sekiranya kita meragukan apa yang mereka perkatakan sebelum ini dan tidak lebih sekadar untuk memancing undi semata-mata,” katanya
Sebelum ini, parti pembangkang itu mengumumkan beberapa langkah yang akan dilaksanakan pakatan itu selepas 100 hari mereka memenangi PRU-14, antaranya menstabilkan harga petrol dan memulihkan FELDA serta pelbagai perkara lain termasuklah komitmen untuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.
Pakatan yang dianggotai PKR, Dap, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut mengumumkan struktur kepemimpinan baharunya dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.
Azizi seterusnya mempersoalkan, sekiranya ditakdirkan mereka memenangi PRU-14 kelak siapakah yang akan dilantik sebagai perdana menteri dua penggal.
“Kini pakatan harapan sudah ada struktur organisasi. Antara ketua Umum, Pengerusi dan Presiden, siapakah di antara meraka ini yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri selama dua penggal jika ditakdirkan pakatan menang PRU nanti?
“Apakah individu yang dilantik sebagai Perdana Menteri itu nanti akan mengambil alih jawatan Ketua Umum atau Pengerusi atau Presiden daripada penyandang-penyandang yang ada sekarang? Di antara tiga jawatan utama tersebut, PM itu nanti akan pegang jawatan yang mana satu?
“Mungkin perkara ini belum dibincangkan lagi oleh pimpinan pakatan pada masa ini … elok juga kita tanya sekali lagi kepada mereka. Cemuih dah dengan jawapan ‚biaq menang dulu baru sembang pasal siapa PM‘,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment