Monday 24 July 2017

BN rangka manifesto khusus lawan Pakatan di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) akan menyediakan manifesto khusus untuk Pulau Pinang bagi memberi peluang kepada rakyat di negeri ini memilih, sama ada BN atau Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bendahari Umno, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, BN negeri juga akan menggariskan beberapa dasar dan program-program yang akan dilaksanakan di Pulau Pinang jika parti itu diberi mandat untuk mentadbir negeri ini.

“Sembilan tahun DAP memerintah negeri ini, sebanyak 51 janji kepada rakyat dan mereka diberi peluang untuk menilai. Sudah tentu rakyat diberi peluang untuk mengkaji dan melihat sama ada kerajaan negeri sudah tunaikan atau tidak janji-janji tersebut.

“Rakyat harus diberi peluang untuk memilih. Kita ingin mengamalkan 1 politik yang sihat. Kita akan menawarkan 1 janji kepada rakyat Pulau Pinang dan biar rakyat membuat pilihan. Mereka akan melihat kelemahan yang berlaku. Kita mahu bersaing secara sihat, rakyat yang akan tentukan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Beliau yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata, antara dasar dan program yang akan dimasukkan dalam manifesto itu termasuk membangunkan kawasan luar bandar dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini.

“Sudah tentu kita akan lihat apakah kelemahan yang berlaku di negeri ini ketika ini. Tujuan kita adalah untuk melihat negeri ini lebih stabil. Malaysia dipimpin oleh BN dan kita mahu kerajaan negeri yang selari dengan kepimpinan kerajaan pusat.

“Jika BN boleh berkuasa semula, kita akan menikmati kerjasama yang lebih rapat lagi antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Apa pun yang penting peluang-peluang itu dapat disediakan dan dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.

Ditanya bila manifesto itu akan dilancarkan, Salleh berkata pihaknya menyerahkan kepada BN negeri untuk melihat dan berbincang dengan BN pusat terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment