Friday 9 December 2016

Teluk Air Tawar tak terabai pembangunan


TELOK AIR TAWAR - Penduduk di Teluk Air Tawar sesekali tidak pernah diabaikan dalam soal pembangunan malahan pelbagai strategi yang dirangka dalam memastikan kawasan ini tidak ketinggalan.

Berkepadatan lebih 30, 000, kawasan Teluk Air Tawar bakal menyaksikan pembangunan sebuah kawasan yang bakal menempatkan sebuah kompleks rekreasi yang bakal memberi manfaat kepada penduduk di kawasan ini.

Adun Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid berkata, dengan kompleks ini bakal dibangunkan di Jalan Berlian, Bagan Ajam di atas tanah berkeluasan hampir dua ekar.

"Kompleks ini bakal memberi pelbagai manfaat kepada penduduk dari segi peluang pekerjaan apabila ianya bakal menempatkan pelbagai kedai, kiosk serta gerai.

"Selain daripada itu, kami juga akan berusaha membawa masuk beberapa agensi kerajaan untuk beroperasi disini antaranya PUNB serta pelbagai agensi lain yang mana akan memberi banyak manfaat kepada penduduk di kawasan Bagan Ajam serta kawasan lain sekitar Telok Air Tawar ini," katanya.

Katanya, dengan terbinanya kompleks ini kelak, ianya akan berperanan sebagai mini pusat transformasi yang menempatkan pelbagai kemudahan kepada masyarakat.

"Kompleks ini akan dibangunkan dengan dua buah blok yang mana menempatkan kedai, dewan untuk kegunaan orang ramai serta kemudahan meletak kenderaan yang selesa.

"Golongan belia sememangnya sentiasa diutamakan dan kita senantiasa mendengar keluhan mereka, sehubungan itu, gelanggang futsal akan diwujudkan di dalam kompleks ini kelak.

"Selain daripada itu, untuk keselesaan pengunjung, sebuah jambatan dibina bagi menghubungkan dua buah blok bangunan kompleks ini kelak," katanya.

Menurutnya, projek kompleks ini dijangka siap pada 2018 kelak dan fokus utama bukan keuntungan sebaliknya untuk memberikan kemudahan dan keselesaan yang terbaik kepada penduduk di Teluk Air Tawar.

"Pembinaan kompleks ini kelak tidak akan menjejaskan taman yang terletak tidak jauh daripada tapak projek kompleks ini.

"Pada masa sama ianya juga tidak akan menjejaskan dari sudut peparitan, peparitan akan dirancang dengan sempurna untuk disalurkan ke parit besar," katanya.

Mengulas lanjut mengenai bantahan sekumpulan penduduk yang mendakwa Teluk Air Tawar terlepas pandang dari sudut pembangunan katanya, pelbagai program serta pembangunan dirancang untuk memastikan masyarakat disini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

"Banyak yang telah direncanakan antaranya kita telah berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) membangunkan semula sebuah bangunan yang terbengkalai yang terletak di hadapan Taman Sejahtera Indah.

"Dan dalam masa yang sama, kita telah berbincang dengan Pos Malaysia untuk menempatkan sebuah pejabat pos di unit kedai di bangunan ini kelak," katanya.-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment