Wednesday 14 December 2016

Projek pulihkan pantai, air laut


BATU FERINGGHI - Bagi memulihkan kualiti pantai dan air laut di Batu Feringghi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan dua projek khas bernilai jutaan ringgit untuk tujuan terbabit.
Projek terbabit adalah yang pertama di Malaysia dan ia dilaksanakan khas di Pulau Pinang.
Jurutera JPS Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Haslinda Mohd Hamran berkata, projek pertama yang dilaksanakan JPS Pusat itu merangkumi penambakan laut dan dua terowong air (outfall) di dua batang sungai.
Menurutnya, projek penambakan laut sepanjang 800 meter dan parit di Sungai Batu Feringghi serta Sungai Satu menelan kos sebanyak RM10.85 juta.
“JPS Pusat melaksanakan projek ini bagi pemulihan pantai dan pembaikan kualiti air laut di Batu Feringghi ini. Projek pertama ini dijangka akan siap pada 22 Disember ini. Jika dilihat, sejak 2014, sungai di Batu Feringghi dicemari dengan punca dari premis-premis berdekatan dan juga kumbahan.
“Selain itu, hakisan pantai yang serius juga menyebabkan kita menjalankan projek penambakan laut. Pembinaan parit di dua sungai pula bagi menangani penutupan muara sungai yang sangat aktif. Dengan adanya terowong ar berkenaan, maka penutupan muara sungai secara semula jadi ini dapat diatasi,” katanya kepada media, semalam.
Haslinda berkata, terowong air berkenaan dibina bagi mengelak pasir menutup muara sungai.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) kini menyediakan satu laluan untuk air kumbahan dari loji terus ke parit. Ia tidak lagi melalui sungai tetapi akan melalui paip khas sepanjang 120 meter dan terus ke laut.
“Projek ini 95 peratus siap dan ia akan mengurangkan kos yang dikeluarkan kerajaan negeri dalam kerja pengorekan pasir akibat daripada fenomena semula jadi ini,” katanya.
Terdahulu, Haslinda bersama Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow, Pengarah JPS Pulau Pinang, Ir Sabri Abdul Muluk dan Pensyarah Pusat Pengajian Perancangan Rumah dan Bangunan, Profesor Madya Nik Fuaad Nik Abdullah melawat tapak dua projek berkenaan di sini.
Sementara itu, Nik Fuaad berkata, projek kedua, struktur wetland di Sungai Batu di sini menelan belanja RM2.1 juta.
Menurutnya, ia merangkumi komponen dua buah wetland (sel A dan B), penanaman tumbuh-tumbuhan wetland dan pembinaan struktur ‘bio-drain’.
“Selain itu, kita juga memasang komponen mekanikal dan elektrikal yang merangkumi pemasangan dan pengoperasian pam serta ‘blower’ bagi mengitar semula air di Sungai Satu. Ia siap pada 9 Disember lalu dan ia juga salah satu alternatif untuk memulihkan kualiti air di sungai berkenaan.
“Kita harap projek ini akan berkesan kerana ia menggunakan teknologi ‘bio-media’ iaitu membiak mikroorganisma dalam struktur ‘bio-drain’.
"Ia dapat memulihkan kualiti air sungai kepada kelas dua sebelum dialirkan terus ke dalam struktur terowong air Sungai Satu dan seterusnya ke laut,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan inisiatif kerajaan Pusat dalam usaha memulihkan sungai dan pantai selain akan terus bekerjasama dalam projek memulihkan Batu Feringghi.
Menurutnya, kerajaan negeri akan meneruskan usaha dalam menjalankan beberapa program pengindahan rizab sungai sekitar Batu Feringghi.SUMBER

No comments:

Post a Comment