Sunday 11 December 2016

Apa Jadi Bila PAS Bertanding Di Permatang Pauh ?



Sebagai sebuah parti tunggal yang tidak memiliki rangkaian atau hubungan secara rasmi dengan mana-mana parti politik lain , PAS sememangnya berhak untuk bertanding serta meletakkan calonnya di mana-mana sahaja kawasan yang dirasakan sesuai bagi menghadapi PRU14 nanti.

Secara profesionalnya tidak ada mana-mana pihak waima UMNO dan Barisan Nasional sekalipun yang boleh mengarahkan PAS supaya jangan bertanding di satu-satu kawasan kerana ia adalah hak satu-satu parti politik di Malaysia berdasarkan kepada perundangan sedia ada.

Semua sedia maklum PAS kini tidak lagi bersama-sama dalam kem pembangkang (Pakatan Harapan) setelah ditendang oleh DAP sebelum ini dengan alasan kononnya parti itu tidak lagi berpegang kepada prinsip dan pendirian pakatan pembangkang yang dianggotai oleh DAP , PKR dan PAN.

Malah pada September 2015 , PKR Pulau Pinang turut menyokong keputusan Lim Guan Eng yang mengistiharkan Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan Pakatan Harapan dokongan DAP, PKR dan PAN tanpa PAS.

Menurut ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abd Razak, ekoran kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu  beliau yang mewakili AMK Pulau Pinang menggesa pemimpin Pas yang kini mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri supaya melepaskan jawatan sebelum hujung tahun.

“Saya mahu mereka (pemimpin Pas) melepaskan jawatan mereka, termasuk Salleh Man yang merupakan pemimpin Pas. Mereka diberi tempoh sehingga hujung tahun,” kata Asrol dalam satu sidang media sebelum ini yang diadakan di Pejabat Keadilan di Seberang Jaya.

Selain daripada itu pada 12 Nov 2016 yang lalu dalam  Konvensyen Pakatan Harapan , Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Wong Kah Woh turut mengkritik parti yang enggan bersama parti pembangkang yang lain untuk mengundi bagi membantah Bajet 2017 pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Parti yang tidak mahu bersama (dalam mengundi untuk) membantah bajet, parti yang itu kita perlu abaikan," katanya.

Berdasarkan perkara diatas maka jelas apa jua tindakan yang cuba dilakukan oleh mana-mana parti yang berada dalam Pakatan Harapan sekiranya ia berkaitan dengan PAS adalah sama sekali tidak relevan.

Namun kini situasinya secara tiba-tiba berubah apabila PAS Permatang Pauh melalui Ketua Peneranganya  Jamsari Samad mempertikaikan keputusan PAN yang mahu meletakkan calonnya di Permatang Pasir.

Jamsari berkata, umum mengetahui kerusi untuk ketiga-tiga Dun dan Parlimen Parlimen Permatang Pauh dimiliki oleh Pas namun atas semangat toleransi Pas memberi keizinan kepada PKR untuk meletakkan calon mereka sebelum ini.

Katanya, untuk PRU akan datang Pas akan bertanding di kerusi Dun Seberang Jaya, Penanti, Permatang Pasir termasuk meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

“Kami juga berhak meletak calon ketiga Dun dan Parlimen kerana kami tiada apa-apa ikatan dengan Pakatan Harapan Pulau Pinang lagi.

“Saya mahu menasihatkan Mujahid supaya selesaikan dahulu krisis perpecahan ahli dalam PAN Pulau Pinang sebelum bercita-cita bertanding di Permatang Pasir,” katanya.

Lebih menarik lagi keputusan PAS Permatang Pauh ini turut mendapat perhatian daripada Naib Presiden PKR , Nurul Izzah yang secara tiba-tiba cuba menjadi penasihat politik kepada parti PAS !

Nurul Izzah dalam kenyataannya berkata PAS seharusnya perlu fokus melawan Barisan Nasional dan tindakan tersebut hanya akan mengelirukan pengundi di kawasan itu.

“Saya rasa dia (PAS Permatang Pauh) patut fikirkan semula keputusan mereka dan fokus berlawan BN.

“Kalau tak, nanti pengundi akan keliru dengan tindakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas perasmian konvensyen PAN di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

PELIK BIN AJAIB !

Secara tiba-tiba seluruh angkatan Pakatan Harapan seolah-olah begitu dekat dengan PAS dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda betapa sebelum ini PAS adalah orang asing !

Jika sebelum ini PAN dilihat gelisah dengan kehadiran PPBM yang kini bersama-sama dalam Pakatan Harapan kerana dikhuatiri boleh mengundang kepada masalah pembahagian kerusi di kalangan Pakatan Harapan , kini kegelisahan itu semakin merebak ke kem PKR pula.

Tindakan Nurul Izzah memberikan isyarat jelas betapa mereka semahunya tidak mahu melihat PAS hadir dalam mana-mana kerusi yang kini menjadi milik mereka.Nurul sedar bahawa PAS boleh menjadi penyebab kepada hilang atau merosotnya kedudukan kerusi yang telah dimenangi oleh mereka sebelum ini.

Hakikatnya keputusan PAS itu bukan sekadar berkisar kepada isu pertindihan kerusi yang bakal berlaku pada PRU14 nanti di antara PAN dan PAS tetapi turut menggugat kedudukan PKR itu sendiri.

Jika keputusan PAS itu diteruskan maka PKR bakal kehilangan undi yang drastik seterusnya mampu menyebabkan mereka hilang kerusi atau paling tidak merosot jumlah undinya.

Selain daripada itu Permatang Pasir merupakan kubu kuat PAS dan sudah tentulah yang paling dibimbangi oleh Nurul dan kalangan pemimpin pembangkang adalah kerusi tersebut bakal terlepas dari gengaman mereka.

Bagi PAN pula dalam saat tempo mereka semakin pincang , kegagalan untuk pastikan hanya PAN sahaja yang bertanding di Permatang Pasir menentang BN bakal menjadi satu lagi episod ngeri buat parti itu.

PAN sedar kegagalan untuk menguasai mana-mana kerusi DUN Pulau Pinang waima satu kerusi sekalipun akan menyebabkan PAN tidak punya tempat dalam hiraki pentadbiran kerajaan DAP !

Apatah lagi sekiranya PAN dikalahkan sudah tentulah imej dan maruah parti itu akan terus tercalar selain daripada terpaksa mengaku betapa PAN hanyalah sekadar kuda tunggangan politik DAP !

Mengambil kira kepada semua diatas maka jelaslah tindakan PKR dan PAN yang tiba-tiba bangkit bersuara dan cuba menjadi penasihat politik kepada PAS adalah satu tindakan yang sebenarnya memalukan bukan sahaja PKR itu sendiri tetapi juga seluruh parti-parti politik yang bersama dalam kem Pakatan Harapan.

No comments:

Post a Comment