Saturday 10 December 2016

Aktiviti Melombong Di Tanjung Bungah Mesti Di Hentikan Segera!


GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang

pimpinan DAP supaya menghentikan segera kegiatan mengorek dan melombong pasir di muara Sungai Kelian dan Sungai Kechil di Tanjung Bungah di sini.  

Presiden CAP dan SAM, S M Mohamed Idris berkata kegiatan itu memusnahkan pantai dan garis pinggir laut di kawasan terbabit.

"Mengalihkan pasir daripada kawasan yang amat padat dengan penduduk di Pulau Pinang memusnahkan persekitaran pantai di situ. Kerja mengindahkan pantai di satu deretan hotel di bahagian lain pulau ini adalah ibarat 'merompak Peter untuk membayar kepada Paul'.  

"Perbuatan ini tidak beretika, tidak bermoral dan patut dikutuk sekeras-kerasnya," katanya dalam kenyataan di sini.  

Beliau juga meminta kerajaan negeri menjelaskan sama ada kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah dilakukan bagi kegiatan mengorek dan melombong pasir di Tanjung Bungah, dan jika telah dilakukan, apakah hasilnya.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu segera menghentikan kerja mengorek dan melombong pasir di sepanjang pantai dan laut di negeri ini sehingga ke suatu tarikh dinyatakan kelak," katanya.  

Mohamed Idris berkata kerajaan negeri dan JPS juga perlu menjelaskan rancangan atau tindakan lain yang mereka ambil terhadap kegiatan mengorek dan melombong pasir serta membenarkan orang ramai menelitinya dan memberi komen.  

"Sebelum itu, semua kegiatan mengorek dan melombong pasir di Pulau Pinang perlu dihentikan. Pasir yang dikorek dan dilombong dari pantai di Tanjung Bungah perlu dikembalikan agar keadaan asal alam sekitar di situ pulih seperti sediakala," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment