Saturday 1 August 2015

Rosmah Mahu Zeti Dipecat : Asia Sentinel Diminta Kemukakan Bukti


Sebuah portal berita asing, Asia Sentinel, digesa membuktikan dokumen rasmi ke atas tuduhan yang dilaporkan dalam artikel terbitan mereka baru-baru ini.

Editor portal itu, John Berthesel bertanggungjawab atas penerbitan satu artikel pada 30 Julai lalu bertajuk ‘Isteri Perdana Menteri Malaysia mahu Gabenor Bank Negara dipecat’.

Beliau turut digesa untuk memohon maaf secara terbuka kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana laporan itu menjejaskan imej dan reputasi beliau.

Memetik kenyataan peguam yang mewakili Rosmah, Messrs Noorhajran Mohd Noor dalam kenyataannya hari ini berkata, John perlu meminta maaf di atas semua dakwaan dan salah lapor yang dibuatnya itu dalam masa 48 jam.

“Tuduhan dalam laporan berbentuk artikel itu sangat serius dan dari sumber yang tidak tepat.

“John boleh merujuk sendiri kepada Bank Negara Malaysia mengenai kebenaran maklumat yang ditulis dalam laporan itu,” menurut kenyataan itu.

Dalam laporan itu, Asia Sentinel melaporkan, atas dasar takut, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz perlu dipecat kerana bimbang pendedahan ke atas penyiasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan akaun peribadi Rosmah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang boleh menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu Noorhajran berkata, John diminta menyerahkan semua dokumen dan sumber rujukan untuk dijadikan bukti dan menguatkan tuduhannya seperti yang terdapat dalam laporan yang ditulis dalam masa 48 jam.

Sekiranya John gagal berbuat demikian tindakan undang-undang dan proses pendakwaan menggunakan kanun jenayah dan sivil akan diambil ke atasnya. ~RakyatPost

No comments:

Post a Comment